KUALA LUMPUR: Malaysia dan Kemboja komited memperkukuh kerjasama strategik dalam pelbagai sektor utama termasuk perdagangan, pelaburan, ekonomi digital, kecerdasan buatan (AI), industri halal, keselamatan makanan serta pembangunan modal insan, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata, komitmen itu dizahirkan ketika menerima kunjungan hormat Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar dan Kerjasama Antarabangsa Kemboja, Prak Sokhonn yang mengadakan lawatan rasmi dua hari ke Malaysia bermula hari ini.
“Lawatan ini sempena Mesyuarat Ketiga Suruhanjaya Bersama bagi Kerjasama Dua Hala (JCBC) Malaysia-Kemboja yang dijadual berlangsung esok.
“Ia juga menjadi landasan penting menjelang sambutan ulang tahun ke-70 hubungan diplomatik Malaysia dan Kemboja pada 2027, sekali gus mencerminkan hubungan erat persahabatan serta perkongsian strategik yang berkekalan antara kedua-dua negara.
“Pertemuan hari ini menjadi ruang untuk kedua-dua negara terus memperkasa kerjasama strategik merangkumi perdagangan, pelaburan, ekonomi digital, kecerdasan buatan (AI), industri halal, keselamatan makanan serta pembangunan modal insan, di samping memperkukuh kerjasama membanteras jenayah rentas sempadan,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Anwar berkata, sebagai negara anggota ASEAN, Malaysia dan Kemboja berkongsi tanggungjawab untuk memelihara keamanan, memperkukuh perpaduan serantau serta merealisasikan Wawasan Komuniti ASEAN 2045 demi masa depan yang lebih makmur kepada seluruh rakyat di rantau ini.
“Moga hubungan Malaysia-Kemboja terus diperkukuh, sekali gus membuka lebih banyak peluang kerjasama yang membawa manfaat bersama kepada kedua-dua negara dan rakyat,” katanya. -BH Online
