KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bersedia melaksanakan penyesuaian kerangka perundangan sedia ada bagi memastikan keseimbangan antara perlindungan hak pemunya hak cipta dan pembangunan ekosistem kecerdasan buatan (AI) di negara ini.
Timbalan Menteri, Datuk Dr Fuziah Salleh, berkata ini kerana sehingga kini, karya yang dijana sepenuhnya secara autonomi oleh AI tanpa pembabitan atau sumbangan kreatif manusia yang signifikan tidak boleh dilindungi di bawah kerangka perundangan sedia ada termasuk Akta Hak Cipta 1987.
Beliau berkata, tumpuan KPDN dalam keperluan penyesuaian kerangka perundangan sedia ada tertumpu kepada empat aspek iaitu membabitkan pemilikan karya janaan AI, serta penggunaan karya berhak cipta bagi tujuan latihan model teknologi itu.
“Selain itu, tumpuan penyesuaian kerangka perundangan juga membabitkan aspek ketelusan penggunaan data latihan serta mekanisme yang bersesuaian.
“Sehingga kini usaha terbabit diterjemah melalui pelaksanaan siri libat urus bersama pelbagai pemegang taruh bagi memastikan sebarang pendekatan dasar atau perundangan yang dipertimbangkan kelak bersifat seimbang, praktikal dan selaras dengan kepentingan pembangunan ekonomi negara.
“Ia juga bagi mengekalkan keseimbangan antara galakan kepada inovasi teknologi, perlindungan hak pemunya hak cipta serta kemampanan ekosistem industri kreatif tempatan,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara, di sini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Senator Senator Datuk Wu Him Ven yang mahu tahu langkah dibuat Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) bagi menangani risiko hak cipta AI dan isu kekosongan hak milik bagi karya janaan AI, berikutan Akta Hak Cipta 1987 belum mempunyai peruntukan khusus untuk melindungi karya tempatan.
Pada masa sama, Fuziah berkata, sehingga kini perkembangan litigasi dan penguatkuasaan berkaitan hak cipta dan teknologi AI lebih banyak tertumpu di peringkat antarabangsa, khususnya membabitkan isu penggunaan artikel berita, imej dan rakaman bunyi bagi tujuan latihan.
Beliau berkata, namun demikian, setakat ini, tiada kes mahkamah direkodkan di Malaysia yang menjadi duluan berkaitan pelanggaran hak cipta yang melibatkan penggunaan teknologi AI.
Sehubungan itu katanya, belum wujud sebarang prinsip perundangan yang ditetapkan oleh mahkamah tempatan berhubung isu terbabit.
“Dalam hal ini, penentuan sama ada sesuatu penggunaan AI membabitkan pelanggaran hak cipta adalah bergantung kepada fakta dan keadaan setiap kes.
“Bagi pelanggaran yang bersifat sivil, perkara terbabit tertakluk kepada penentuan mahkamah melalui tindakan yang difailkan pemunya hak cipta.
“Sementara bagi kesalahan yang bersifat jenayah, tindakan adalah tertakluk kepada kewujudan aduan atau permohonan siasatan serta pelaksanaan penguatkuasaan oleh KPDN,” katanya. -BH Online
