Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

SHAH ALAM: Program MADANI Kita (PMK) menjadi platform kerajaan untuk memberi kefahaman kepada rakyat mengenai isu semasa sekali gus memastikan maklumat yang tepat disampaikan kepada masyarakat.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata selain bertujuan membawa pelbagai perkhidmatan kerajaan lebih dekat dengan masyarakat, program itu berperanan memberi pemahaman tentang dasar dan inisiatif kerajaan secara lebih jelas.

“Contohnya berhubung laporan penuh Suruhanjaya Siasatan Diraja berhubung pengurusan dan operasi Lembaga Tabung Haji (TH), anggotanya bukanlah terdiri daripada orang politik.

“Penerangan berhubung isu berkenaan perlu menggunakan ayat yang mudah untuk rakyat faham… biar rakyat faham apa yang berlaku dalam TH,” katanya ketika berucap merasmikan PMK Bersama-sama Komuniti Kota Raja di Dewan MBSA Seksyen 28 di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha Komunikasi Strategik dan Industri Kreatif Kementerian Komunikasi Datuk Bahria Mohd Tamil serta Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin.

Dalam pada itu, Mohamad berkata program berkenaan turut menghimpunkan pelbagai kementerian, jabatan dan agensi Kerajaan Persekutuan serta Kerajaan Negeri di bawah satu bumbung dalam usaha membawa perkhidmatan yang lebih dekat dengan masyarakat.

“Pengisian program hari ini memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh silaturahim dan semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum melalui aktiviti yang turut disusun termasuk perlawanan bola sepak, pertandingan e-sukan serta aktiviti kebudayaan yang mencerminkan kepelbagaian warisan masyarakat di Selangor,” katanya.

Sementara itu, Bahria dalam ucapannya berkata keselamatan siber dan perlindungan pengguna khususnya kanak-kanak menjadi antara keutamaan Kementerian Komunikasi.

“Untuk itu, kerajaan tidak akan berkompomi terhadap sebarang bentuk penyalahgunaan platform digital yang boleh mengancam keselamatan dan kesejahteraan rakyat.

“Sehingga 30 Jun lepas, sebanyak 1,550 kandungan jelik yang melibatkan kanak-kanak telah berjaya diturunkan hasil tindakan tegas Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia bersama dengan pemberi perkhidmatan berlesen,” katanya.

Beliau berkata tindakan itu dilaksanakan melalui kerjasama penguatkuasaan merangkumi bantuan teknikal, perkongsian maklumat dan analisis forensik digital bagi membantu siasatan pihak berkuasa.

Dianggarkan lebih 2,000 pengunjung memeriahkan PMK Bersama-sama Komuniti Kota Raja, dengan 27 reruai jabatan dan agensi kerajaan dibuka untuk memberi khidmat kepada masyarakat kawasan itu. — BERNAMA