KUALA LUMPUR: Kehilangan setiap satu nyawa akibat kemalangan jalan raya bukan saja memberi kesan mendalam kepada institusi kekeluargaan malah mengakibatkan negara kerugian ekonomi sekurang-kurangnya RM3.12 juta bagi setiap kematian.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, anggaran berdasarkan Nilai Kehidupan Statistik (VSOL) itu menunjukkan ia bukan sekadar angka, sebaliknya mencerminkan kehilangan ketua keluarga, anak muda yang menjadi harapan serta modal insan produktif negara.
Beliau berkata, nahas jalan raya kekal sebagai antara cabaran kesihatan awam paling serius di Malaysia apabila menjadi penyumbang kelima tertinggi kepada kematian pramatang.
“Berdasarkan Indeks Kematian Jalan Raya Malaysia oleh Kementerian Pengangkutan, secara purata 18 individu maut akibat kemalangan jalan raya setiap hari di negara ini.
“Lebih membimbangkan, 59 peratus daripada jumlah kematian itu membabitkan penunggang motosikal,” katanya dalam kenyataan di Facebook, hari ini.
Sebelum ini, Program Himpunan RXZ Members 8.0 yang berlangsung selama tiga hari berakhir semalam menghimpunkan peminat motosikal Yamaha RXZ menerusi pelbagai aktiviti termasuk pameran motosikal, jualan produk, cabutan bertuah dan program santai komuniti permotoran.
Program itu menghimpunkan lebih 200,000 peserta, sekali gus menjadi edisi paling mendapat sambutan sejak penganjurannya bermula pada 2017.
Dr Dzukefly berkata, beliau menyokong penuh niat baik dan semangat silaturahim yang dianjurkan pihak penganjur program konvoi mega sedemikian.-BH Online
