Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Agenda Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) perlu dijadikan budaya nasional, bukan lagi dilihat sebagai dokumen pelaporan korporat atau syarat mendapatkan pembiayaan semata-mata. 

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata ESG seharusnya menjadi budaya yang membentuk cara kerajaan, industri dan masyarakat membuat keputusan dan mengurus organisasi serta menjalankan perniagaan.

“Apabila ESG menjadi budaya, kita tidak lagi melaksanakannya kerana diwajibkan oleh undang-undang atau didorong oleh tuntutan pasaran. 

“Sebaliknya, kita melaksanakannya kerana percaya bahawa itulah jalan terbaik untuk membina sebuah negara yang lebih makmur, lebih adil dan lebih berdaya tahan,” katanya ketika merasmikan Sidang Kemuncak Industri dan Akademik Persatuan Perintis Advokasi Alam Malaysia (MAPAN) ESG 2026, di sini, hari ini.

Sidang kemuncak yang turut mendapat kerjasama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu menghimpunkan pemimpin industri, penggubal dasar, institusi kewangan, ahli akademik, penyelidik, badan profesional serta pertubuhan masyarakat sivil bagi membincangkan pelaksanaan agenda ESG di negara ini. 

Sidang itu akan mengetengahkan empat sesi plenari utama yang memberi tumpuan kepada aspek kritikal pelaksanaan agenda Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG), iaitu Inovasi ESG, Pendedahan Iklim, Ekonomi Kitaran dan Integrasi Rantaian Bekalan.

Sesi Inovasi ESG akan membincangkan bagaimana inovasi, teknologi dan kecerdasan buatan (AI) mampu memacu model perniagaan serta penyelesaian yang lebih mampan. 

Sementara itu, sesi Pendedahan Iklim memberi tumpuan kepada pelaporan iklim yang selaras dengan Kerangka Kerja Pelaporan Kelestarian Kebangsaan (NSRF), termasuk aspek pengurusan pelepasan karbon, tadbir urus dan jangkaan pelabur.

Dalam pada itu, Fadillah berkata, dalam landskap ekonomi global yang berubah dengan pantas, kelestarian bukan lagi satu pilihan, sebaliknya menjadi satu keperluan yang menentukan keupayaan negara untuk terus berdaya saing tanpa mengorbankan kesejahteraan rakyat dan alam sekitar.

Sehubungan itu, katanya, kerajaan melihat ESG bukan sebagai beban pematuhan atau sekadar memenuhi keperluan pelaporan, sebaliknya sebagai kerangka pembangunan yang mampu meningkatkan daya saing negara, memperkukuh daya tahan perniagaan serta meningkatkan keyakinan pelabur.

“Negara yang gagal menyesuaikan diri dengan perubahan ini berisiko kehilangan pelaburan, menjejaskan daya saing industri dan menghadapi cabaran lebih besar dalam menjamin kesejahteraan rakyat,” katanya.

Beliau berkata, pendekatan itu selari dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan keseimbangan antara pertumbuhan ekonomi, kesejahteraan rakyat, kelestarian alam sekitar dan tadbir urus yang baik.

Dalam pada itu, Fadillah berkata, kejayaan agenda peralihan hijau negara turut bergantung kepada penyertaan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS), yang merangkumi kira-kira 97 peratus daripada keseluruhan perusahaan di Malaysia.

Katanya, PMKS perlu melihat ESG sebagai instrumen strategik untuk meningkatkan daya saing, memperluaskan akses kepada pembiayaan dan pasaran serta memanfaatkan peluang yang diwujudkan melalui peralihan kepada ekonomi rendah karbon.

“PMKS yang bersedia menyesuaikan diri akan berada pada kedudukan yang lebih baik untuk menembusi pasaran antarabangsa, menarik rakan niaga strategik dan meningkatkan nilai tambah kepada produk serta perkhidmatan mereka,” katanya. 

Tambahnya, apa yang dilakukan bukanlah semata-mata untuk memenuhi sasaran 2030 atau 2050. 

“Lebih daripada itu, ia adalah mengenai warisan yang akan kita tinggalkan kepada generasi akan datang, kita amhu mewariskan sebuah negara yang ekonominya kukuh, sumber airnya terjamin, tenaganya mampan, alam sekitarnya terpelihara dan institusinya diyakini. 

“Kita mahu anak-anak kita membesar dalam sebuah Malaysia yang terus berdaya saing, makmur dan dihormati kerana kemampuannya mengimbangi

pembangunan ekonomi dengan tanggungjawab terhadap manusia dan alam sekitar.

“Inilah makna sebenar pembangunan mampan. Inilah juga semangat yang mendasari agenda ESG yang kita perjuangkan bersama hari ini,” katanya. -BH Online