Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

CYBERJAYA: Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) perlu menjadi pemudah cara pertumbuhan yang menghubungkan syarikat Bumiputera kepada peluang sebenar dan bukan hanya sebagai penyedia program atau pembiayaan.

Ketika menegaskan perkara itu, Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata perubahan pendekatan itu penting bagi memastikan syarikat Bumiputera mampu berkembang, meningkatkan hasil dan menembusi pasaran baharu.

“Kejayaan tidak seharusnya diukur berdasarkan jumlah program atau peserta semata-mata.

“Ukuran lebih penting ialah sama ada syarikat yang dibantu berjaya meningkatkan hasil, mewujudkan pekerjaan berkualiti, menarik pelaburan swasta dan memasuki pasaran baharu,” katanya semasa berucap pada Sesi Libat Urus Ekosistem Pemula TERAJU: Suara, Visi dan Aspirasi di sini, semalam. 

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif TERAJU Junady Nawawi.

Akmal Nasrullah berkata banyak syarikat pemula Bumiputera berjaya membangunkan produk dan mendapatkan pelanggan awal, tetapi kemudiannya tersekat akibat kekurangan modal pertumbuhan, kelemahan tadbir urus serta keterbatasan bakat pengurusan.

Berikutan itu, katanya, sokongan tidak boleh terhenti selepas syarikat berjaya dimulakan, sebaliknya ekosistem perlu menyediakan pembiayaan, bimbingan, pengukuhan tadbir urus dan akses pasaran secara berterusan, khususnya apabila syarikat memasuki fasa pertumbuhan lebih mencabar.

“Selaras dengan Pelan Tindakan KL20 dan Pelan Hala Tuju Ekosistem Startup Malaysia, matlamat kita adalah untuk melahirkan lebih banyak syarikat tempatan yang berteknologi tinggi, berdaya tahan dan berpotensi menjadi peneraju industri.

“Kita juga perlu membantu syarikat Bumiputera melangkaui pasaran domestik. Malaysia boleh menjadi tempat bermula, tetapi ASEAN dan pasaran global perlu menjadi ruang untuk mereka berkembang,” katanya.

Beliau berkata ekosistem yang matang perlu menjadi jambatan menghubungkan syarikat dengan pembiayaan, pelanggan, rakan korporat dan pasaran lebih luas.

Kerajaan pula akan terus memperkukuh ekosistem yang menyokong pertumbuhan syarikat pemula Bumiputera melalui kerjasama yang lebih tersusun antara kementerian, agensi, pelabur, institusi kewangan, syarikat korporat dan pemain industri.  

“Kerajaan menyediakan persekitaran yang kondusif, rakan ekosistem membuka akses dan peluang, manakala para usahawan perlu terus berani berinovasi, meningkatkan keupayaan dan menembusi pasaran yang lebih luas,” katanya.

Sementara itu, Junady berkata bagi TERAJU, kejayaan sesebuah syarikat pemula bukan diukur pada saat menerima sokongan, tetapi kemampuan terus berkembang, berinovasi, mencipta nilai dan menyumbang kepada ekonomi negara.

“Membina sebuah syarikat adalah satu perjalanan yang panjang. Selepas produk dibangunkan, cabaran baharu pula muncul antaranya mendapatkan pelanggan, membina pasukan kukuh, memasuki pasaran baharu, menarik pelaburan dan akhirnya memperluas perniagaan.

“Justeru, TERAJU terus memperkukuh sokongan kepada komuniti startup melalui pelbagai inisiatif susulan seperti SUPERB Coach and Grow, TERAJU Venture Spotlight dan pelbagai siri libat urus yang menghimpunkan syarikat pemula dengan pelabur, rakan strategik dan pemain industri,” katanya.

Mengulas majlis semalam, Junady berkata Program Ekosistem Pemula TERAJU: Suara, Visi dan Aspirasi itu menghimpunkan syarikat pemula Bumiputera bagi sesi maklum balas langsung mengenai cabaran dan keperluan mereka pada setiap fasa pertumbuhan perniagaan.– BERNAMA