REMBAU: Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan mengingatkan jentera parti itu supaya tidak menjadikan isu adat sebagai bahan kempen sepanjang tempoh Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
Mohamad berkata, adat perlu dihormati dan tidak wajar dicampuradukkan dengan politik kerana tindakan sedemikia
Katanya, semua pihak perlu memastikan kempen yang dijalankan kekal sihat dengan memberi tumpuan kepada penyampaian manifesto serta tawaran kepada rakyat.
“Saya sudah terangkan dan saya telah pesan dan saya telah minta supaya dalam masa kempen ini kita jangan sentuh tentang adat.
“Adat perlu kita hormati kerana adat ini dia bersendirian, jangan kita campur adukkan dalam politik kerana ini akan mengusutkan lagi keadaan dan kita tidak perlu menggunakan platform isu adat ini sebagai bahan kempen,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas proses penamaan calon bagi PRN Negeri Sembilan di Dewan Seri Rembau, di sini, hari ini.
Dalam perkembangan sama, Mohamad berkata, fokusnya sepanjang tempoh kempen bukan sahaja untuk mempertahankan kerusi DUN Rantau, sebaliknya memastikan gerak kerja jentera Barisan Nasional (BN) disusun dengan baik serta membantu calon-calon lain.
Katanya, beliau tidak terlalu bimbang mengenai sokongan di DUN Rantau memandangkan kawasan itu sudah lama diwakilinya, sebaliknya, tumpuan diberikan kepada penyelarasan jentera bagi menghadapi PRN Negeri Sembilan.
“Kalau di Rantau, saya tidak perlulah orang kata di Rantau orang nak kenal saya, apa yang perlu saya lakukan adalah memastikan gerak kerja jentera disusun dengan baik dan saya perlu membantu rakan-rakan yang lain,” tambahnya.
Bagaimanapun, Mohamad yang juga Menteri Luar memaklumkan, beliau perlu berada di Manila dari Isnin hingga Khamis bagi menghadiri Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN, sekali gus menjalankan tanggungjawab rasmi mewakili negara.
Menurutnya, beberapa perbincangan penting akan berlangsung terutama dalam keadaan geopolitik dunia yang tidak menentu ketika ini, termasuk usaha memastikan kepentingan dan kedaulatan Malaysia terus dipelihara.
Katanya, Malaysia perlu memainkan peranan dalam hubungan antarabangsa, termasuk dalam koordinasi dengan negara-negara berkaitan bagi menjaga kepentingan negara.
Pada PRN kali ini, Mohamad bakal berdepan saingan satu lawan satu dengan calon Pakatan Harapan (PH), Dr Azizul Hakim Mahdi bagi mempertahankan kerusi DUN Rantau. -BH Online
