Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

JOHOR BAHRU: Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) mengeluarkan Notis Henti Niaga terhadap premis dikaitkan dengan operasi Network School di Forest City, berikutan kegagalan syarikat berkenaan mematuhi syarat lesen perniagaan dan penggunaan premis ditetapkan.null

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata tindakan penguatkuasaan itu hasil siasatan pihak berkuasa tempatan terhadap operasi syarikat terbabit yang didapati menyalahgunakan premis pejabat urusan sebagai ruang aktiviti pendidikan.

“Hasil pemeriksaan mendapati syarikat beroperasi di dua premis, iaitu satu premis mempunyai lesen pejabat urusan yang sah, manakala satu lagi premis didapati beroperasi tanpa lesen perniagaan MBIP walaupun dimiliki warga tempatan.

“Selain itu, pihak syarikat juga didapati melanggar jenis perniagaan yang dibenarkan iaitu pejabat urusan dan menggunakannya sebagai ruang kelas serta promosi perniagaan tidak dikemukakan permohonan secara terperinci,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.

Susulan pelanggaran itu, beliau berkata MBIP secara rasmi mengeluarkan Notis Henti Niaga IP012N260714001 terhadap premis yang beroperasi tanpa lesen perniagaan yang sah.

Pihak MBIP turut mengeluarkan Notis Lesen Iklan (6103) di bawah Seksyen 107(2), Akta Kerajaan Tempatan 1976 kerana mempamerkan papan iklan yang tidak mematuhi syarat dan tidak selaras dengan kelulusan diberikan.

Onn Hafiz berkata kerajaan negeri memandang serius perkara ini dan MBIP akan meneruskan siasatan terhadap semua aspek di bawah bidang kuasanya.

“Sekiranya didapati terdapat pelanggaran undang-undang, syarat lesen atau peraturan yang berkuat kuasa, tindakan penguatkuasaan lanjut akan diambil mengikut peruntukan undang-undang,” katanya.

Mengenai status kemasukan warga asing yang dikaitkan dengan sekolah terbabit, Onn Hafiz berkata perkara itu di bawah bidang kuasa Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan kerajaan negeri mendesak keputusan segera serta muktamad diberikan berhubung status individu serta operasi sekolah berkenaan.

Terdahulu, tular di media sosial mengenai dakwaan yang mengaitkan kewujudan Network School di Forest City dengan agenda Israel untuk bertapak secara senyap di negara ini menerusi pelaburan mata wang.-BH Online