PUTRAJAYA: Kerajaan tidak mencampuri urusan pelantikan pengurusan syarikat pelabuhan, namun menegaskan pegangan majoriti saham bagi syarikat konsesi yang mengendalikan aset strategik negara mesti kekal dimiliki rakyat Malaysia.null
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata dasar kerajaan menetapkan syarikat mengendalikan konsesi dan aset strategik negara termasuk pelabuhan, perlu mengekalkan sekurang-kurangnya 51 peratus pegangan saham tempatan.
“Untuk kerajaan kita hanya kawal selia dari segi pegangan saham untuk syarikat, konsesi dan juga aset penting serta strategik negara termasuk pelabuhan dan sebagainya, mesti dipegang oleh rakyat Malaysia iaitu 51 peratus, itu dasar kita.
“Tetapi dari segi pengurusan, biasanya kerajaan tidak mencampuri urusan pengurusan syarikat,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Bekas Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat logistik gergasi DP World, Sultan Ahmed Sulayem, mengambil alih kepimpinan MMC Port Holdings Bhd, apabila CEO Kumpulannya, Azman Shah Mohd Yusof, meletakkan jawatan berkenaan berkuat kuasa serta-merta, menurut memo yang dilihat Reuters.
Langkah itu meletakkan kawalan langsung terhadap pengendali pelabuhan terbesar Malaysia itu di bawah Sultan Ahmed yang juga Pengerusi Eksekutif MMC Port.
Mengulas lanjut, Loke berkata, kerajaan lazimnya tidak campur tangan dalam urusan pengurusan syarikat termasuk pelantikan CEO atau pengurusan tertinggi.
“Malah, terdapat pelabuhan diterajui CEO warga asing. Dari segi pengurusan, kerajaan tidak mencampuri urusan syarikat dan mereka tidak perlu melaporkannya kepada kerajaan kerana mereka bebas memilih individu dirasakan sesuai menguruskan syarikat,” katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata, sebarang perubahan pegangan saham syarikat konsesi perlu dimaklumkan kepada kerajaan.
Mengulas dakwaan berlaku perubahan pegangan saham susulan pelantikan itu, Loke berkata, setakat ini kerajaan belum menerima sebarang makluman daripada syarikat atau pemegang konsesi.
“Setakat kita tahu, ia tidak berlaku. Kita belum menerima sebarang maklumat atau notifikasi daripada syarikat mahupun pemegang konsesi,” katanya. -BH Online
