Sorting by

×
Screenshot
Hantar Berita Ini:

NILAI: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan rasa syukur dengan kadar pertumbuhan ekonomi negara seperti diunjurkan melalui laporan Anggaran Awal Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Suku Kedua 2026 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).null

Berdasarkan laporan itu, KDNK pada suku kedua dijangka kekal berdaya tahan, berkembang 5.8 peratus, selepas mencatatkan pertumbuhan 5.4 peratus pada suku sebelumnya.

Menurut DOSM, unjuran itu disokong peningkatan dalam hampir semua sektor ekonomi kecuali pertanian yang mengalami penyusutan. 

“Alhamdulilah, Alhamdulilah,” ujarnya ringkas ketika mengulas perkara itu selepas menunaikan solat jumaat di Masjid Dato Penghulu Menteri Sungei Ujong, Kuarters KLIA, di sini, hari ini.

Pada suku pertama lalu, ekonomi negara berkembang 5.4 peratus, dipacu oleh pertumbuhan penggunaan swasta, pelaburan serta aktiviti sektor perkhidmatan yang terus kukuh.

Berdasarkan anggaran awal itu, KDNK Malaysia berada dalam landasan terbaik untuk mencapai unjuran rasmi yang dibuat bagi tahun ini, malah berkemungkinan mengatasi sebahagian besar jangkaan yang dibuat oleh firma-firma penyelidikan utama.

Unjuran rasmi KDNK Malaysia bagi 2026 adalah antara 4.0 hingga 5.0 peratus mengikut Bank Negara Malaysia (BNM), manakala Kementerian Kewangan (MOF) menetapkan sasaran yang lebih berhati-hati iaitu antara 4.0 hingga 4.5 peratus.

Terdahulu, Anwar tiba di masjid berkenaan kira-kira jam 12.50 tengah hari dengan disambut penduduk setempat serta pihak pengurusan masjid.

Beliau kemudian meluangkan masa kira-kira setengah jam menikmati hidangan tengah hari sebelum menunaikan solat Jumaat bersama lebih 1,000 jemaah yang diketuai Imam 1, Muhammad Haziq Khairul Anuar. -BH Online