Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

JOHOR BAHRU: Barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) Johor yang baharu selepas Barisan Nasional (BN) melakar kemenangan bergaya dengan membolot sebanyak 48 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16, bakal diketahui esok.

Majlis Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan EXCO dijadualkan berlangsung di hadapan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail, di Istana Bukit Serene di sini, pada sebelah pagi.

Majlis penuh istiadat itu akan menyaksikan barisan kepimpinan baharu pentadbiran negeri mengangkat sumpah simpan rahsia dan menerima watikah pelantikan masing-masing.

Pengamal media turut dijemput membuat liputan di dua pintu masuk istana membabitkan Pintu Mahkota dan Pintu Kolam Air, bermula seawal jam 9.30 pagi.

Majlis istiadat itu dijadualkan turut dihadiri Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi; Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor, Datuk Dr Abdul Rahim Ramli; dan Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Datuk Mohammed Ridha Abd Kadir.

Ahad lalu, Onn Hafiz yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap, mengangkat sumpah jawatansebagai Menteri Besar Johor bagi penggal kedua berturut-turut. -BH Online