KUALA LUMPUR: Kerajaan meminta seluruh rakyat dan peniaga supaya tidak leka atau mengambil mudah kesan terhadap ekonomi serta rantaian bekalan susulan Iran mengumumkan penutupan semula Selat Hormuz.null
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir, berkata walaupun terdapat laporan masih terdapat sedikit pergerakan bagi kapal komersial, keadaan itu tidak boleh menyebabkan kerajaan atau rakyat berasa selesa.
“Ini bermakna ekonomi kita masih terdedah dengan gangguan geopolitik yang tidak stabil di luar sana.
“Kerajaan, rakyat, peniaga dan semua perlu bersedia serta berwaspada kerana memang akan ada kesan dari segi harga minyak, tekanan kepada kos pengangkutan dari segi tempoh penghantaran, harga input bahan mentah global, dan isu bekalan serta harga barangan makanan orang ramai,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam hantaran video melalui TikTok beliau, malam tadi, ketika mengulas mengenai penutupan semula Selat Hormuz susulan serangan Amerika Syarikat (AS) dan Israel pada 8 Julai lalu.
“Kita semua tidak boleh leka dan perlu mampu menyesuaikan diri dengan cabaran ekonomi yang masih belum surut susulan konflik peperangan serta serangan di Asia Barat yang masih belum surut,” katanya.
Dalam pada itu, Akmal Nasrullah berkata, industri dan ekosistem rantaian akan menghadapi tekanan rantaian bekalan global sekiranya krisis itu berpanjangan, sekali gus memberi kesan terhadap industri.
Sekiranya keadaan itu tidak dibendung, beliau berkata, ia akan memberi kesan kepada pengguna.
“Apabila disebut rantaian, ia sebenarnya lebih rumit daripada yang kita jangka.
“Contohnya, jika tekanan itu dihadapi industri pengeluar plastik, kesannya boleh merebak kepada industri lain seperti pembungkusan makanan, komponen elektrik dan elektronik, automotif, peranti perubatan, pembinaan, pertanian dan eksport pembuatan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata, cabaran berkenaan perlu ditangani supaya tidak menjejaskan operasi dan rantaian pada peringkat berikutnya serta tidak bergantung sepenuhnya pada faktor luaran. -BH Online
