KUALA LUMPUR: Kempen Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026 tetap menunjukkan prestasi positif meskipun berdepan ketidaktentuan global termasuk konflik di Asia Barat, kata Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing.
Beliau berkata Malaysia merekodkan 17.5 juta ketibaan pelawat antarabangsa bagi tempoh Januari hingga Mei tahun ini sekali gus menunjukkan peningkatan sebanyak 3.4 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.
Katanya, antara langkah diambil kementeriannya ialah melaksanakan promosi secara agresif di pasaran yang lebih stabil seperti China, Russia, Asia Tengah dan Australia, selain memperkukuh produk pelancongan termasuk pelancongan mesra-Muslim.
“Strategi ini bertujuan meminimumkan kesan terhadap ketibaan pelawat serta gangguan kepada kapasiti penerbangan dari rantau yang terjejas,” katanya dalam jawapan bertulis yang dimuat naik menerusi laman rasmi Dewan Rakyat semalam.
Beliau menjawab soalan Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang) mengenai status terkini kejayaan TMM 2026 serta strategi mitigasi kementerian dalam menangani impak ketidaktentuan global dan konflik Asia Barat terhadap sektor pelancongan negara.
Pada masa King Sing berkata kementeriannya melalui Biro Konvensyen dan Pameran Malaysia (MyCEB) terus memperkukuh segmen acara perniagaan atau Meetings, Incentives, Conferences and Exhibitions (MICE) bagi menarik pelawat berkualiti tinggi serta meningkatkan perbelanjaan pelawat.
“Bagi tempoh separuh pertama tahun ini, sebanyak 194 acara perniagaan antarabangsa berjaya dianjurkan di Malaysia dengan kehadiran lebih 340,000 delegasi, sekali gus menjana impak ekonomi dianggarkan RM1.82 bilion.
“Selain itu, MyCEB turut berjaya membawa masuk 162 acara perniagaan antarabangsa yang dijadual berlangsung dari separuh kedua 2026 hingga 2030. Acara ini dijangka menarik seramai 350,686 delegasi dan menjana impak ekonomi berjumlah RM2.53 bilion kepada negara,” katanya.
King Sing berkata, pihaknya bersama agensi seperti Tourism Malaysia (TM), MyCEB dan Pusat Pelancongan Islam (ITC) akan terus memperhebat promosi Malaysia sebagai destinasi yang selamat, lestari, pelbagai budaya dan mesra pelancong menerusi kempen pemasaran bersasar serta kerjasama strategik dengan syarikat penerbangan, pengusaha pelancongan dan platform digital.
“Usaha itu penting bagi memastikan Malaysia terus kekal sebagai destinasi pilihan pelawat serantau dan antarabangsa,” katanya.-BH Online
