PUTRAJAYA: Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) akan menjalankan siasatan terhadap dakwaan tular di media sosial mengaitkan nombor rujukan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sebagai bukti pengiktirafan surat pengakuan nikah, yang dikeluarkan Majlis Ulama Rohingya Malaysia.
Menteri berkenaan, Dr Zulkifli Hasan berkata ketika ini pihaknya belum menerima maklumat lengkap berhubung dakwaan berkenaan.
“Nanti kita siasat, saya tak dapat lagi maklumat berkenaan perkara itu,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Pendakwa Syarie Seluruh Malaysia (PePSSM) kali kedua 2026 di sini, hari ini.
Terdahulu, tular dalam media sosial surat pengakuan nikah didakwa dikeluarkan oleh Majlis Ulama Rohingya Malaysia dengan memaparkan nombor rujukan “JAKIM.PERH/LN.800-7(5)”, yang mencetuskan persoalan mengenai kaitan kod berkenaan dengan JAKIM.
Media melaporkan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) tidak mengiktiraf surat dikeluarkan oleh Majlis Ulama Rohingya Malaysia sebagai dokumen yang sah.
Jabatan itu juga memaklumkan pernikahan melibatkan komuniti etnik Rohingya tidak boleh didaftarkan kerana melibatkan isu dasar yang sedang diperhalusi oleh pihak berkuasa agama negeri.
Dalam perkembangan lain, Zulkifli berkata pihaknya mengambil maklum isu penyampaian ceramah agama tanpa tauliah menerusi platform media sosial, namun menjelaskan perkara itu berada di bawah bidang kuasa kerajaan negeri yang bertanggungjawab mengawal pentauliahan mengajar agama, termasuk memberikan tauliah kepada individu yang layak.
“Ada satu perkara iaitu (mengajar agama tanpa pentauliahan) secara online (dalam talian) itu, kita masih melihat bagaimana untuk mengambil perhatian perkara ini. Kerajaan masih meneliti pendekatan terbaik bagi menangani isu berkenaan kerana ia melibatkan aspek perundangan yang perlu diperhalusi.
“Pada peringkat jabatan, kita memang sentiasa memastikan bahawa mereka yang dijemput untuk ke udara dan sebagainya mempunyai tauliah,” katanya ketika ditanya mengenai kekangan penguatkuasaan yang dihadapi Pegawai Penguat Kuasa Agama (PPA) dalam membanteras perkara itu.
Terdahulu dalam ucapannya, Zulkifli berkata kerajaan akan terus menyokong usaha menambah baik undang-undang syariah supaya kekal relevan dalam mendepani cabaran baharu, khususnya jenayah di alam siber.
Beliau berkata kerjasama strategik bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Polis Diraja Malaysia serta Jabatan Peguam Negara perlu terus diperkukuh bagi memastikan penguatkuasaan dan pendakwaan syariah kekal berkesan serta diyakini masyarakat.
“Pendakwaan syariah perlu bergerak seiring perkembangan teknologi. Pengurusan kes secara digital, penggunaan kecerdasan buatan, serta pemodenan prasarana dan sistem pengurusan kes hendaklah dimanfaatkan bagi meningkatkan kecekapan, ketepatan dan ketelusan penyampaian keadilan,” katanya.
Zulkifli berkata cabaran jenayah yang semakin kompleks turut menuntut pendakwa syarie meningkatkan kompetensi dalam pelbagai bidang baharu.
“Kita mahu melahirkan pendakwa syarie yang bukan sahaja mantap kefahaman syariahnya, malah menguasai kemahiran perundangan moden,” katanya.
Beliau berkata peningkatan kompleksiti jenayah masa kini menuntut pendakwa syarie untuk terus memperkukuh kompetensi, termasuk dalam aspek forensik digital, analisis data, teknologi dan teknik advokasi, bagi memastikan mereka sentiasa bersedia menghadapi cabaran semasa dengan tahap profesionalisme yang tinggi. -BH Online
