Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan menerima menghadap Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi di Johor Bahru, hari ini.null

Menurut hantaran di laman Facebook rasmi Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, dalam pertemuan itu, Seri Paduka disembah maklum beberapa perkara, termasuk pentadbiran Kerajaan Johor selepas berlangsungnya Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16, Sabtu lalu.

Baginda juga dipersembahkan mengenai hala tuju pentadbiran dan perancangan pembangunan negeri. 

“Sultan Ibrahim turut menzahirkan harapan agar Kerajaan Negeri Johor yang telah diberi mandat oleh rakyat menjalankan amanah dan tanggungjawab dengan penuh dedikasi, berintegriti serta bersungguh-sungguh dalam melaksanakan setiap dasar dan inisiatif demi kesejahteraan rakyat dan kemajuan Johor,” menurut hantaran itu.

Pada PRN Johor ke-16 Sabtu lalu, Barisan Nasional (BN) berjaya mengekalkan mandat mentadbir Johor selepas memenangi 48 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), sekali gus membentuk semula kerajaan negeri dengan majoriti lebih besar.

Kemenangan itu menyaksikan BN menambah lapan kerusi berbanding 40 kerusi yang dimenangi pada 2022, sekali gus menguasai majoriti dua pertiga DUN Johor. -BH Online