KUALA LUMPUR: Kementerian Perpaduan Negara mencadangkan supaya Pangkalan Data Koleksi Artifak Kebangsaan diwujudkan bagi menghimpunkan maklumat artifak daripada muzium di seluruh negara dalam satu sistem bersepadu, sekali gus memudahkan akses kepada penyelidik dan orang ramai.
Menterinya, Datuk Aaron Ago Dagang, berkata Malaysia boleh mencontohi negara seperti Norway dan Sweden yang berjaya menghubungkan ratusan muzium menerusi sistem pendigitalan DigitaltMuseum, yang menghimpunkan jutaan koleksi untuk penyelidikan, pendidikan serta akses awam.
“Saya mencadangkan Ketua Setiausaha kementerian dan Ketua Pengarah Jabatan Muzium Malaysia, Kamarul Baharin A Kasim, mengadakan sesi libat urus dengan semua 232 muzium di bawah agensi Persekutuan, kerajaan negeri, universiti serta sektor swasta bagi merealisasikan inisiatif ini.
“Sebagai contoh, Norway dan Sweden membangunkan DigitaltMuseum yang menghubungkan ratusan muzium serta mendigitalkan jutaan koleksi untuk penyelidikan, pendidikan dan akses masyarakat,” katanya berucap pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Perpaduan Negara di Muzium Negara, hari ini.
Aaron berkata, kementerian turut merancang memperkenalkan teknologi realiti maya (VR) dan realiti terimbuh (AR) dalam pameran muzium terpilih bagi memberikan pengalaman lebih interaktif kepada pengunjung.
Beliau berkata, satu platform pameran maya juga akan dibangunkan untuk Muzium Arkeologi Lembah Bujang bagi mempromosikan koleksi artifak dan warisan sejarahnya kepada masyarakat.
Katanya, Jabatan Muzium baru-baru ini menerima 109 sumbangan artifak daripada orang ramai menerusi kempen sumbangan artifak, menjadikan jumlah koleksi di bawah jagaan jabatan itu meningkat kepada 437,242 artifak.
Sehingga Mei lalu, muzium di bawah jabatan itu merekodkan 766,939 pengunjung, manakala Sambutan Minggu Perpaduan 2026 berjaya menarik 284,448 pengunjung iaitu jumlah tertinggi sejak program itu diperkenalkan pada 2023.
Bagi tempoh 2023 hingga 2025 pula, Jabatan Muzium Malaysia menyelaras 41 pameran sementara di seluruh negara.
“Saya juga meminta Kamarul Baharin membentangkan perancangan pameran bagi tahun ini dan tahun depan pada Mesyuarat Pasca Kabinet yang akan datang,” katanya.
Pada majlis sama, Aaron turut melancarkan Pelan Strategik Kementerian Perpaduan Negara 2026–2030 yang menjadi hala tuju memperkukuh nilai perpaduan, integrasi sosial dan pemeliharaan warisan negara.
Turut diperkenalkan ialah Rubrik Impak Dasar, iaitu mekanisme baharu bagi memantau pelaksanaan dan menilai keberkesanan sebenar setiap inisiatif perpaduan.
Selain itu, Pelan Strategik Pendigitalan 2026-2030 kementerian turut dilancarkan bagi memacu transformasi digital menerusi tiga keutamaan utama iaitu memperkasa penyampaian perkhidmatan digital bersepadu, memperkukuh infrastruktur digital yang selamat dan moden, serta mempertingkat tadbir urus digital bersama keupayaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).
Sementara itu, Kamarul Baharin berkata, pameran imersif pertama akan diwujudkan di Galeri D, Muzium Negara.
Katanya, bagi pameran berkaitan Pengisytiharan Kemerdekaan, teknologi berkenaan akan digunakan bagi membolehkan pengunjung merasai suasana seolah-olah berada di Stadium Merdeka ketika detik bersejarah itu berlangsung.
“Selain itu, projek pameran imersif di Muzium Sungai Lembing yang dibiayai menerusi geran padanan akan menghidupkan semula pengalaman perlombongan bijih timah bawah tanah. Projek itu dijangka siap bulan depan,” katanya. -BH Online
