Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KOTA KINABALU: Sabah kini diletakkan sebagai hab serantau serta ‘makmal hidup’ bagi inovasi dan kerjasama pelaburan berimpak tinggi ke arah pembangunan mampan, sekali gus membuka peluang negeri itu menjadi pintu masuk utama yang menghubungkan modal global dengan inisiatif pembangunan di rantau Asia-Pasifik.null

Kedudukan strategik itu diperkukuh menerusi penganjuran Sidang Kemuncak Pelaburan Berimpak Asia-Pasifik bagi Pembangunan Mampan Sabah 2026 (Sabah AIMS 2026), yang memberi tumpuan kepada pendekatan praktikal untuk menggerakkan modal ke arah projek sosial dan alam sekitar berimpak tinggi.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup, menyifatkan penganjuran acara itu sebagai langkah tepat kerajaan negeri dalam memperkukuh kerjasama serantau, menarik pelaburan berskala besar serta menyokong agenda pembangunan wilayah.

Beliau berkata, platform berkenaan berjaya menghimpunkan pakar dan pemain industri bagi mempercepat pembangunan mampan melalui pendekatan pelaburan berimpak.

Sebagai bukti tarikan antarabangsa, acara dua hari bertemakan ‘Turn, Learn, Earn’ itu yang julung kali dianjurkan menghimpunkan lebih 300 profesional serta pemain industri daripada pelbagai bidang berkaitan.

Penyertaan sidang kemuncak berkenaan melibatkan wakil dari rantau Asia-Pasifik serta pemain global termasuk Malaysia, Singapura, Hong Kong, China, Taiwan, Bhutan, India, Australia, Afrika Selatan, Perancis, Jerman, Britain dan Amerika Syarikat.

“Saya berharap Sabah AIMS 2026 menjadi pemangkin kepada kerjasama serantau yang lebih erat serta menggerakkan lebih banyak pelaburan berimpak yang mampu menjana kemakmuran ekonomi,” kata Datuk Seri Arthur ketika berucap pada majlis berkenaan di sini, hari ini.

Pada masa sama, beliau berharap inisiatif pelaburan melalui platform berkenaan dapat memastikan kelestarian warisan alam semula jadi demi kesejahteraan generasi akan datang.

Beliau berkata, penganjuran Sabah AIMS 2026 selaras dengan komitmen Malaysia untuk memperkukuh pembangunan mampan menerusi dasar inklusif, pertumbuhan hijau serta pengurusan sumber asli yang bertanggungjawab.

Datuk Seri Arthur berkata, sidang kemuncak itu berlangsung pada waktu penting ketika dunia berdepan cabaran besar termasuk perubahan iklim, kehilangan biodiversiti, ketidakjaminan sumber serta jurang sosioekonomi yang semakin melebar.

Menurutnya, ekosistem kewangan perlu beralih kepada pendekatan pelaburan berimpak bagi menarik penyertaan modal swasta yang mampu memberikan pulangan kewangan kompetitif selain menghasilkan manfaat sosial dan alam sekitar.

“Pembiayaan awam tradisional serta geran daripada institusi filantropi sahaja tidak lagi mencukupi untuk merapatkan jurang pembiayaan yang diperlukan bagi mencapai Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs) dan sasaran pelepasan bersih sifar negara,” katanya.

Justeru, pendekatan pembiayaan baharu yang mampu menggerakkan sumber secara lebih mampan perlu terus diperkasakan sebagai pemangkin mempercepat peralihan Malaysia ke arah pembangunan mampan serta ekonomi rendah karbon. -BH Online