PILIHAN Raya Kecil (PRK) Pelangai mesti menjadi milik calon Kerajaan Perpaduan, kata Datuk Seri Fadillah Yusof
Timbalan Perdana Menteri itu berkata, kemenangan calon Barisan Nasional (BN) pada PRK Pelangai 7 Oktober ini akan menjadi lambang semangat penyatuan dalam Kerajaan Perpaduan yang menjadi asas kestabilan politik dan kemakmuran negara.
Katanya, kemenangan Datuk Amizar Abu Adam dalam saingan tiga penjuru di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai akan menyampaikan mesej Kerajaan Perpaduan yang mendukung semangat penyatuan seluruh rakyat.
“Kita mengharapkan suasana di Sarawak ketika ini dapat juga diwujudkan di Semenanjung, jangan lagi berpecah inilah peluangnya untuk kita satukan. Kalau BN-DAP dapat duduk bersama bayangkan perkara yang tidak mustahil boleh kita kukuhkan perpaduan dan kesatuan rakyat pelbagai kaum.
“Kami di Sarawak dulu pun kata No DAP tetapi demi negara, untuk perpaduan dan kekuatan negara kita, untuk kemakmuran negara, kita korbankan prinsip tetapi kita hendak bersatu untuk negara dan rakyat,” katanya pada majlis perjumpaan Calon BN bersama jentera MCA Telemong dekat Bentong, semalam.
Fadillah berkata, semangat penyatuan adalah komitmen Kerajaan Perpaduan yang tidak mahu melihat perpecahan sebaliknya kesatuan seluruh rakyat tanpa mengira kaum.
Justeru, beliau menyeru komitmen semua parti yang membentuk kerajaan perpaduan ini dapat memastikan kestabilan dikekalkan seterusnya memperbaiki kewangan negara.
“Kami di Sarawak itulah fokus kami, bukan saya hendak sombong tetapi nak berkongsi, bila kita lihat di Sarawak itu sendiri tidak ada banyak politik. Politik hanya waktu pilihan raya, selepas pilihan raya semua memberi tumpuan menguruskan negara dan negeri.
“Alhamdulillah, Sarawak dari segi kedatangan pelabur begitu ramai sekali. Malah kawan-kawan saya di semenanjung kata dapat tidak berpindah ke sana, terutama pelabur, saya kata bolehlah tetapi kena bawa duit banyak sikit,” katanya. –Media Perpaduan