Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Kadar caruman permulaan 0.75 peratus bagi Skim Kemalangan Bukan Bencana (LINDUNG 24 JAM) adalah antara yang terendah di dunia, namun menawarkan perlindungan sosial yang menyeluruh kepada pencarum dan keluarga mereka.null

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, kadar caruman itu ditetapkan selepas mengambil kira keseimbangan antara kemampuan pekerja dan manfaat yang diterima.

Katanya, antara faedah di bawah skim itu termasuk gantian pendapatan sekiranya pencarum mengalami hilang upaya, perlindungan kepada waris sekiranya berlaku kematian, selain bantuan tertentu termasuk kemudahan pendidikan kepada anak-anak yang layak.

“Caruman permulaan untuk skim LINDUNG 24 JAM adalah sebanyak 0.75 peratus, terendah di dunia.

“Kami sudah membuat perbandingan dengan negara lain melalui Persatuan Keselamatan Sosial Antarabangsa (ISSA) yang dianggotai hampir 164 negara dan mendapati tiada negara yang menawarkan perlindungan seperti yang kita sediakan,” katanya pada sidang media di Menara PERKESO, hari ini.

Dalam pada itu, Mohammed Azman berkata, PERKESO tidak seharusnya dibandingkan dengan syarikat insurans komersial kerana peranan agensi itu adalah menyediakan perlindungan keselamatan sosial kepada pekerja.

Katanya, perlindungan berkenaan bertujuan memastikan pencarum dan keluarga mereka mempunyai kesinambungan pendapatan sekiranya berlaku hilang upaya, kecederaan atau kematian.

“Jika berlaku kematian, bayaran faedah akan diteruskan kepada balu, anak-anak atau ibu bapa yang layak bagi memastikan kelangsungan hidup mereka,” katanya.

Beliau berkata, setakat ini PERKESO menerima kira-kira 27 tuntutan sehari di bawah skim itu dengan hampir RM2 juta penyaluran faedah dalam tempoh sebulan ia berkuat kuasa.

Katanya, kadar itu lebih tinggi berbanding sekitar 13 kes permohonan setiap hari yang terpaksa ditolak oleh PERKESO pada 2025 kerana dikategorikan sebagai bukan bencana kerja.

“Jangan lihat jumlah caruman yang diterima semata-mata. Jika seorang pencarum meninggal dunia pada usia muda, PERKESO mungkin perlu meneruskan bayaran faedah kepada ibu bapanya yang layak selama puluhan tahun.

“Itulah liabiliti jangka panjang yang perlu kita tanggung,” katanya.

Mengulas kebimbangan bahawa skim itu membebankan pekerja, Mohammed Azman berkata caruman berkenaan perlu dilihat sebagai pelaburan untuk masa depan keluarga, bukannya beban kewangan.

Katanya, berdasarkan pengalaman PERKESO menguruskan pelbagai kes kemalangan dan kematian, perlindungan sosial penting bagi memastikan keluarga pencarum tidak hilang sumber pendapatan secara mendadak apabila berlaku musibah.

Sementara itu, beliau memaklumkan sehingga kini sebanyak 207,000 majikan sudah mendaftar di bawah skim berkenaan, membabitkan 1.92 juta pekerja tempatan dan 307,000 pekerja asing.

Katanya, jumlah caruman diterima setakat ini hampir RM58 juta, manakala 1,056 tuntutan sudah diterima.-BH Online