KUALA LUMPUR: Perbandingan secara langsung antara Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan pentaksiran antarabangsa, seperti Program Pentaksiran Pelajar Antarabangsa (PISA) dan Trends in International Mathematics and Science Study (TIMSS) tidak akan memberikan gambaran tepat, dan boleh membawa kepada kesimpulan yang mengelirukan jika tidak dilihat dalam konteks sewajarnya.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, berkata kedua-dua bentuk pentaksiran berkenaan dibina atas asas yang berbeza dari segi tujuan, reka bentuk dan kaedah penilaian.
Fadhlina menjelaskan, dari segi tujuan dan skop penilaian, SPM adalah peperiksaan berasaskan kurikulum kebangsaan, yang menilai sejauh mana murid menguasai kandungan pembelajaran yang diajar sepanjang persekolahan, sekali gus berfungsi sebagai instrumen pensijilan dan laluan pendidikan murid.
PISA, sebaliknya direka bagi menilai keupayaan murid berusia 15 tahun mengaplikasikan pengetahuan dan kemahiran berfikir dalam situasi kehidupan sebenar, tanpa terikat secara khusus kepada kurikulum mana-mana negara.
TIMSS pula menumpukan kepada penguasaan kandungan Matematik dan Sains yang berbeza dengan kandungan kurikulum kebangsaan Malaysia.
“Dari segi populasi dan sampel sasaran, SPM dinilai ke atas semua calon yang mendaftar di peringkat menengah atas mengikut aliran dan mata pelajaran pilihan masing-masing, manakala PISA dan TIMSS menggunakan kaedah persampelan murid mengikut had usia atau tingkatan tertentu yang tidak semestinya mewakili kohort SPM secara menyeluruh.
“Perbezaan struktur sampel ini dengan sendirinya menjadikan perbandingan skor secara mentah tidak setara.
“Dari segi format dan kaedah pentaksiran, SPM menilai penguasaan kandungan mata pelajaran secara mendalam melalui format peperiksaan bertulis yang selari dengan sukatan kebangsaan, manakala PISA dan TIMSS lebih menumpukan kepada kemahiran berfikir aras tinggi, penyelesaian masalah dan aplikasi pengetahuan merentas konteks yang pelbagai, dengan format soalan dan skema pemarkahan antarabangsa tersendiri.
“Justeru, atas tiga sebab utama ini, SPM dan pentaksiran antarabangsa, seperti PISA dan TIMSS wajar dilihat sebagai dua instrumen yang saling melengkapi, bukan sebagai dua ukuran yang bersaing atau boleh dibandingkan secara terus,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat, semalam.
Beliau menjawab soalan Rodziah Ismail (PKR-Ampang) mengenai punca kecemerlangan SPM saban tahun gagal memulihkan kemerosotan berterusan skor Malaysia dalam metrik penilaian antarabangsa, terutama PISA bagi kemahiran murid berusia 15 tahun dalam Matematik, Sains dan Bacaan serta TIMSS bagi pencapaian gred empat dan lapan dalam Matematik serta Sains.
Mengulas lanjut, Fadhlina, berkata SPM memberikan gambaran mengenai penguasaan kurikulum kebangsaan dan keberkesanan pengajaran di peringkat sekolah, manakala PISA dan TIMSS memberikan gambaran lebih luas mengenai kedudukan sistem pendidikan negara, berbanding piawaian antarabangsa, terutama dari aspek kemahiran berfikir aras tinggi dan aplikasi pengetahuan.
Bagaimanapun katanya, Kementerian Pendidikan (KPM) mengambil serius dapatan kedua-dua bentuk pentaksiran ini secara bersepadu.
“Disebabkan pencapaian murid turut dipengaruhi pelbagai faktor, seperti kesan pandemik COVID-19, jurang akses pembelajaran, penguasaan kemahiran berfikir aras tinggi serta motivasi dan kesejahteraan murid, KPM terus memperkukuh literasi, numerasi dan kemahiran penyelesaian masalah melalui penambahbaikan kurikulum, pedagogi dan pentaksiran, selain pelaksanaan intervensi yang lebih bersasar,” katanya. -BH Online

