KUALA LUMPUR: Krisis di Asia Barat sebenarnya menjadi ujian sebenar yang mengesahkan kekukuhan mekanisme BUDI MADANI RON95 (BUDI95).
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata penyasaran subsidi petrol RON95 di bawah inisiatif BUDI95 terbukti berkesan dalam mempertahankan kedudukan fiskal negara serta membendung ketirisan subsidi.
Menurutnya, pelaksanaan BUDI95 telah mengurangkan ketirisan kerana sehingga 15 peratus daripada jualan RON95 dibuat pada harga tanpa subsidi iaitu oleh mereka yang tidak layak untuk BUDI95.
“Sejak Oktober 2025 hingga Februari 2026, BUDI95 memberi penjimatan sekitar RM200 juta sebulan. Sejak Mac 2026, dengan kenaikan harga minyak, BUDI95 menjimatkan lebih RM500 juta sebulan daripada jualan RON95 pada harga tanpa subsidi,” katanya melalui jawapan bertulis disiarkan di laman sesawang Parlimen.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Dr Sivakumar Varatharaju Naidu (PH-Batu Gajah) yang meminta Menteri Kewangan menyatakan status pelaksanaan penyasaran subsidi RON95 dan BUDI MADANI, termasuk jumlah perbelanjaan yang ditanggung kerajaan, keberkesanan sistem pangkalan data bersepadu serta langkah memastikanbantuan disalurkan tepat kepada golongan yang layak tanpa meningkatkan kos sara hidup.
Menjelaskan dengan lebih lanjut, Anwar berkata konflik Asia Barat telah melonjakkan harga minyak mentah dunia melepasi AS$120 setong, dan Malaysia tidak terkecuali daripada tempias krisis ini.
Katanya, subsidi petrol dan diesel sekitar RM800 juta sebulan pada Januari dan Februari, telah melonjak kepada hampir RM5 bilion sebulan untuk Mac dan April.
“Peningkatan jumlah subsidi ini membolehkan warganegara Malaysia berumur 16 tahun ke atas layak menikmati petrol RON95 pada harga bersubsidi RM1.99 seliter.
“Selain itu, kemudahan fleet card juga diberikan kepada sektor kenderaan awam dan pengangkutan barangan
terpilih bagi membolehkan mereka terus mendapatkan bekalan diesel pada harga bersubsidi,” katanya.
Perdana Menteri menambah, lebih 400,000 kenderaan daripada sektor pengangkutan awam dan sektor pengangkutan barangan darat seperti bas ekspres, teksi, lori dan treler barangan dan lain-lain kekal dilindungi melalui skim subsidi bersasar, termasuk Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) dan Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS), bagi memastikan kos logistik dan pengangkutan tidak terjejas secara mendadak.
Katanya, golongan nelayan juga terus terpelihara melalui pemberian subsidi RON95 dan diesel bagi mengurangkan kos operasi penangkapan ikan, mengekalkan daya saing industri perikanan serta memastikan bekalan makanan negara kekal terjamin.
“Dengan perkembangan terkini, harga minyak mentah Brent global kini turun ke paras sederhana iaitu sekitar AS$75 hingga AS$80 setong.
“Namun begitu, tanggungan subsidi kerajaan berdasarkan harga pasaran semasa masih diunjurkan tinggi iaitu sekitar RM3.5 bilion sebulan. Daripada jumlah tersebut, subsidi RON95 diunjurkan sekitar RM2 bilion sebulan, manakala subsidi diesel pula sekitar RM1.5 bilion sebulan,” katanya.
Anwar berkata, dengan kejayaan BUDI95 yang telah mengekang ketirisan dan diterima baik rakyat, kerajaan memutuskan untuk memperkukuh kaedah penyasaran subsidi diesel supaya seragam dan cekap di bawah satu mekanisme tunggal BUDI MADANI.
“Melalui BUDI MADANI, kaedah penyasaran subsidi diseragamkan di seluruh negara termasuk Sabah, Sarawak dan Labuan dengan MyKad sebagai kaedah pengesahan kelayakan, justeru rakyat Malaysia dapat membeli RON95 pada harga RM1.99 seliter dan diesel pada harga RM2.10 seliter, iaitu harga bersubsidi yang lebih rendah,” katanya.
Perdana Menteri berkata, pembaharuan BUDI MADANI membawa dua impak utama iaitu kelangsungan bekalan diesel terjamin di pasaran negara dan rakyat terus menikmati diesel pada harga lebih rendah.
Beliau berkata, ketirisan akibat penyeludupan dan penyalahgunaan oleh bukan warganegara dan industri dapat dibendung dengan lebih berkesan apabila harga di pam ditetapkan pada harga pasaran, sekali gus menjamin kelangsungan bekalan di pasaran negara.
“Pembaharuan ini dijangka menjimatkan perbelanjaan subsidi sehingga RM2 bilion setahun, yang memberi peluang kepada kerajaan untuk mengagihkan sebahagian penjimatan untuk menurunkan harga diesel bersubsidi daripada RM2.15 seliter kepada RM2.10 seliter.
“Pembaharuan ini membolehkan rakyat Malaysia mendapat keistimewaan sebagai warganegara dengan menikmati diesel pada harga lebih rendah,” katanya.

