Sorting by

×
Screenshot
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Malaysia dipilih sebagai lokasi penubuhan Pusat Pembangunan Global (GDC) pertama oleh Ant International, sekali gus memperkukuh kedudukan negara sebagai hab pembangunan teknologi kewangan (fintech) dan ekonomi digital bertaraf global.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata pemilihan itu mencerminkan keyakinan syarikat berkenaan terhadap keupayaan Malaysia dalam membangunkan ekosistem digital serta bakat tempatan.

Beliau berkata, penubuhan pusat itu bukan sekadar melibatkan pelaburan, malah membuka lembaran baharu kepada pembangunan teknologi kewangan negara menerusi kerjasama rapat dengan institusi pengajian tinggi dan pusat penyelidikan.

“Kerajaan mahu memastikan teknologi, kewangan dan inovasi diterjemahkan kepada penciptaan pekerjaan berkualiti, pengukuhan keupayaan tempatan serta peluasan peluang kepada perusahaan dan rakyat.

“Teknologi, kewangan dan inovasi bukan matlamat akhir. Ia mesti menjana pekerjaan berkualiti, memperkukuh keupayaan tempatan, memperluaskan peluang kepada perniagaan dan meningkatkan akses kepada perkhidmatan, khususnya bagi golongan yang sebelum ini tercicir,” katanya ketika menyampaikan ucapan perasmian pada majlis pelancaran pusat pembangunan global Ant International, di sini, hari ini.

Yang turut hadir Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan Ketua Pegawai Ekselutif Ant Group, Cyril Han.

Penubuhan GDC ini menjadi satu lagi pencapaian penting dalam perjalanan Ant International di Malaysia yang mencerminkan keyakinan syarikat bahawa inovasi bertaraf dunia boleh dibangunkan di Malaysia untuk pasaran global, menerusi pewujudan peluang pekerjaan bernilai tinggi, pembangunan bakat tempatan serta kerjasama erat dengan rakan kongsi daripada sektor awam dan swasta.

Sehingga kini, Ant International mewujudkan kira-kira 1,500 peluang pekerjaan dalam sektor fintech di Malaysia, dengan lebih 50 peratus daripadanya melibatkan peranan dalam bidang teknologi.

Tenaga kerja ini menyumbang kepada operasi global Ant International dalam bidang kecerdasan buatan (AI), pembayaran digital, pendigitalan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), serta teknologi kewangan (fintech).

Dalam pada itu, Anwar berkata, kerajaan sedang memuktamadkan Rang Undang-Undang Tadbir Urus Kecerdasan Buatan bagi memperkukuh kerangka kawal selia digital negara serta meningkatkan keyakinan terhadap penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI).

Beliau berkata, rang undang-undang itu akan melengkapkan kerangka sedia ada termasuk Akta Keselamatan Siber serta peraturan perlindungan data negara.

“Kita turut mengalu-alukan pandangan pemain industri antarabangsa bagi memastikan rangka kerja yang dibangunkan menepati amalan terbaik global.

“Kita sedang melengkapkan Rang Undang-Undang Tadbir Urus AI dan memerlukan input daripada pihak industri yang mempunyai kepakaran serta pengalaman mengendalikan peraturan di pelbagai negara,” katanya.

Tambahnya, kepercayaan digital perlu menjadi asas dalam usaha membangunkan negara digital, khususnya apabila teknologi AI berkembang dengan begitu pantas.

Beliau berkata, AI dijangka mengubah cara perniagaan dijalankan, bagaimana kredit dinilai, risiko diurus serta pasaran dihubungkan merentasi sempadan.

“Teknologi seperti model bahasa raya (LLM) mampu menghapuskan halangan komunikasi dan membuka peluang baharu kepada perdagangan serta inovasi jika digunakan secara bertanggungjawab,” katanya.

Namun, Perdana Menteri turut mengingatkan bahawa kemajuan AI turut memberi kuasa besar kepada pihak yang menguasai data, platform dan infrastruktur digital.

Sehubungan itu, katanya, pertimbangan manusia perlu terus menjadi asas dalam setiap proses membuat keputusan walaupun teknologi semakin canggih.

“AI mesti dimanfaatkan untuk rakyat dan negara. Kita mahu manfaatnya dikongsi secara menyeluruh, bukannya hanya dinikmati oleh kelompok tertentu,” katanya. -BH Online