Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PONTIAN: Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, memberi jaminan kerajaan negeri Johor akan terus seiring dengan Kerajaan Persekutuan sekiranya gabungan itu sekali lagi diberi mandat mentadbir negeri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Timbalan Perdana Menteri itu berkata, kerjasama erat antara kerajaan negeri dan Persekutuan penting bagi memastikan agenda pembangunan serta kebajikan rakyat dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.

“Saya yakin jika mandat diberikan kepada calon-calon kita dan negeri Johor terus ditadbirkan oleh dokongan daripada calon-calon rakyat yang kita pilih, tidak timbul soal bahawa rakyat negeri Johor yang tidak akan kolonial bersama-sama kerajaan Pusat” katanya.

Ahmad Zahid berkata, dakwaan kononnya kerajaan negeri Johor tidak akan mendapat sokongan atau kerjasama Kerajaan Persekutuan sekiranya dipimpin BN adalah tidak berasas.

“Saya memberi jaminan jika mandat diberikan sekolah kerajaan negeri Johor yang dipimpin oleh sahabat kita akan terus bersama-sama dengan Kerajaan Pusat demi kepentingan bangsa Johor keseluruhan,” katanya.

Beliau berkata demikian berucap pada Majlis Perjumpaan Kakitangan KEMAS negeri Johor di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Tun Dr Ismail, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki; Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan dan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Dalam pada itu Ahmad Zahid berkata, rakyat tidak seharusnya terpengaruh dengan sentimen atau dakwaan yang dimainkan sepanjang kempen pilihan raya berhubung hubungan antara kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan.

Katanya, kerajaan negeri yang bakal dibentuk selepas PRN Johor akan terus mendapat dukungan Kerajaan Persekutuan bagi memastikan pembangunan serta kesejahteraan rakyat dapat diteruskan.

“Kerajaan Johor yang akan dibentuk selepas mandat diberikan oleh rakyat akan terus selari dengan Kerajaan Persekutuan demi kepentingan Bangsa Johor secara keseluruhannya.

“Kita berada dalam gabungan yang sama dan komited untuk memastikan kestabilan politik serta kesinambungan pembangunan dapat dinikmati rakyat,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menggesa semua pihak berkempen secara matang dan berhemah sepanjang tempoh berkempen selama 14 hari.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta jabatan dan agensi kerajaan yang terbabit dalam memastikan kelancaran serta keselamatan proses pilihan raya.

Pada masa sama, Ahmad Zahid memuji peranan Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) dan menyatakan hasrat supaya skim gaji warga KEMAS dapat ditambah baik melalui cadangan yang akan dikemukakan kepada kerajaan. -BH Online