SERDANG: Malaysia komited dan menyokong usaha membangunkan ekosistem industri pesawat udara tanpa pemandu (UAV) sebagai sektor baharu di negara ini, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata, kerajaan juga mahu kelebihan sedia ada dimanfaatkan sepenuhnya bagi memastikan Malaysia menjadi hab serantau bagi industri UAV.
Beliau berkata, selain jangkaan nilai pasaran melebihi AS$55 bilion menjelang 2030, industri UAV mampu memberi nilai tambah bagi memperkukuh pelbagai ekosistem lain, termasuk membantu usaha mendepani krisis dan bencana alam.
Sehubungan itu, katanya, dasar berkaitan ekosistem UAV yang jelas perlu disediakan bagi menarik lebih banyak pelaburan, sekali gus menjadi pemacu baharu pasaran ekonomi digital.
“Kita perlu segera meneroka teknologi dan bidang baharu, jika mahu negara lebih berjaya dan gagah dari segi ekonomi, selain dron adalah antara bidang berkaitan digital serta kecerdasan buatan (AI) yang memerlukan ekosistem kukuh dan menyeluruh.
“Nilai teknologi ini tidak boleh dipandang enteng kerana ia bukan hanya menyokong sektor pertahanan tetapi ia juga mampu meningkatkan daya tahan negara dan memperbaiki kualiti penyampaian perkhidmatan awam.
“Penggunaan dron juga mampu meningkatkan kesedaran situasi di lapangan dengan membantu mengesan lokaliti mangsa dan memudahkan operasi menyelamat, terutama yang sukar diakses pasukan penyelamat,” katanya merasmikan Majlis Penutupan Ekspo MyDrone di sini, hari ini.
Turut hadir, Presiden Pertubuhan Dron atau UAV Dunia (WUAVF) Malaysia, Datuk Tay Kean Boon dan bekas Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam, Datuk Seri Azharuddin Abdul Rahman.
Perdana Menteri berkata, kementerian dan agensi berkaitan juga perlu memberi sokongan kepada industri UAV dalam menyampaikan hala tuju dan dasar kerajaan berkaitan ekosistem berkenaan kepada pemain industri.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan juga perlu mewujudkan kerjasama dengan sektor swasta bagi mewujudkan paltform untuk inovasi dan kolaborasi dalam industri UAV global.
Mengetengahkan contoh penggunaan dron, katanya, penggunaan alat itu diaplikasikan secara meluas, termasuk dalam sektor perladangan dan pertanian yang sekali gus membantu meningkatkan tahap produktiviti negara.
“Saya sudah meminta kerajaan, Kabinet, perusahaan penyelidikan sains dan semua agensi berkaitan memberikan sokongan diperlukan sehingga mereka tidak perlu risau mengenai dasar jelas.
“Komitmen membangunkan ekosistem industri UAV negara ini juga perlu mengambil kira aspek penyelidikan, pelaburan, pengujian serta kerjasama antara industri, kerajaan, institusi penyelidikan dan universiti.
“Ini juga perlu didorong faktor kestabilan politik dan pelaksanaan dasar jelas yang menjadi antara faktor penting bagi menarik pelaburan strategik, terutama dalam industri teknologi baharu ke negara ini,” katanya.-BH Online

