Sorting by

×
Screenshot
Hantar Berita Ini:

KEPALA BATAS: Negeri di Pantai Timur dikenal pasti mencatat kadar penagihan dadah sintetik tertinggi di negara ini, khususnya pil kuda.

Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Datuk Ruslin Jusoh, berkata trend itu selari dengan peningkatan ketara penggunaan dadah sintetik yang kini menguasai sebahagian besar kes penagihan dadah di Malaysia.

“Kalau kita tengok, sudah tentu negeri-negeri Pantai Timur juga antara merekodkan kadar tertinggi, khususnya pengambilan pil kuda, tetapi kita tidak nafikan negeri-negeri Pantai Barat pun kadar tinggi.

“Di Pantai Timur, antara dadah menjadi keutamaan penagih adalah pil kuda dan syabu berbanding dadah-dadah lain seperti heroin atau ganja,” katanya ketika ditemui pada Majlis Sambutan Peringatan Hari Antidadah Kebangsaan 2026 di Dataran Sungai Muda, di sini hari ini.

Ruslin berkata, kebanyakan kes penagihan dadah sintetik membabitkan penggunaan amphetamine-type stimulants (ATS) seperti syabu, pil kuda dan ekstasi yang semakin mendapat tempat dalam kalangan pengguna.

Katanya, golongan belia berusia antara 15 hingga 39 tahun menjadi kumpulan paling ramai terbabit dalam penyalahgunaan dadah sintetik apabila mewakili 84 peratus daripada keseluruhan penagih bahan tersebut.

“Ini angka yang membimbangkan kerana majoriti penagih dadah sintetik adalah dalam kalangan belia yang sepatutnya menjadi aset penting kepada pembangunan negara.

“Kita melihat dadah sintetik ini semakin diterima sebagai sebahagian daripada gaya hidup segelintir golongan muda kerana ia mudah diperoleh dan memberi kesan yang lebih cepat berbanding dadah tradisional,” katanya.

Beliau menjelaskan, pengaruh rakan sebaya dikenal pasti sebagai faktor utama yang mendorong golongan belia terjebak dengan penyalahgunaan dadah sintetik.

Selain itu, katanya, masalah keluarga, konflik rumah tangga, tekanan emosi serta masalah dalam hubungan sosial turut menjadi antara punca yang menyebabkan seseorang mengambil dadah bagi melepaskan tekanan yang dihadapi.

Ruslin berkata, peningkatan mendadak penggunaan dadah sintetik turut menjadi cabaran baharu kepada AADK kerana pendekatan rawatan dan pemulihan sebelum ini lebih tertumpu kepada penagih dadah tradisional seperti heroin, morfin dan ganja.

“Dadah sintetik adalah satu ancaman baharu dan juga cabaran baharu kepada AADK. Sebab itu modul rawatan dan pemulihan yang sedia ada sentiasa ditambah baik dari semasa ke semasa bagi memastikan ia kekal relevan dan berkesan.

“Ini termasuk usaha menangani penyalahgunaan dadah sintetik yang kini turut dikaitkan dengan penggunaan vape dalam kalangan belia,” katanya.-BH Online