Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim menitahkan kerajaan memberi keutamaan perolehan peralatan berteknologi terkini dan menyokong struktur baharu Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sejajar dengan konsep ‘Angkatan Masa Hadapan

Menerusi hantaran di laman Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, baginda bertitah, doktrin pertahanan negara perlu berubah seiring dengan perkembangan teknologi.

“Transformasi strategik terhadap ATM perlu dilakukan sejajar dengan konsep ‘Angkatan Masa Hadapan’.

“Persekitaran keselamatan global dan serantau sedang mengalami perubahan pesat, kompleks serta tidak menentu.

“Angkatan masa hadapan yang bakal dibentuk hendaklah sebuah angkatan yang bersepadu, dan berupaya untuk menghadapi ‘Fifth Generation Warfare’,” titah baginda ketika berangkat menyempurnakan Istiadat Perbarisan Pentauliahan Diraja dan Pengurniaan Watikah Tauliah Pegawai Kadet ATM di Kem Perdana Sungai Besi, hari ini.

Turut hadir, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Malek Razak Sulaiman.

Istiadat perbarisan pentauliahan itu adalah satu pengiktirafan rasmi kepada 566 Pegawai Kadet ATM yang menamatkan latihan ketenteraan masing-masing dengan jayanya, sekali gus menandakan permulaan tugas dan tanggungjawab mereka sebagai Pegawai Muda dalam ketiga-tiga cabang perkhidmatan ATM.

Seri Paduka Baginda selaku pemerintah tertinggi ATM berkenan memeriksa perbarisan pegawai kadet diiringi Panglima Angkatan Tentera dan Pegawai Perbarisan.

Seri Paduka Baginda turut berkenan mengurniakan hadiah kepada tujuh pegawai kadet terbaik Akademi Latihan Ketenteraan.-BH Online