Sorting by

×
Screenshot
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) sedang membangunkan Kajian Indeks Ketegangan Masyarakat bagi mengukur tahap perpaduan serta memantau isu sensitiviti agama dan kaum di negara ini.

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata hasil dapatan kajian itu akan menjadi rujukan strategik utama kerajaan dalam merangka tindakan intervensi awal, menangani isu sensitif serta memperkukuh keharmonian masyarakat majmuk.

Beliau berkata langkah itu penting memandangkan landskap ancaman perpaduan kini beralih ke ruang digital apabila sebanyak 1,493 kandungan berkaitan isu agama, raja dan kaum (3R) terpaksa diturunkan bagi tempoh 1 Januari 2025 hingga 31 Jan lepas, melalui tindakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

“Pengaruh algoritma media sosial pada masa kini mudah mewujudkan fenomena ‘gelembung penapis’ dan ‘ruang gema’ yang menyumbang kepada polarisasi, sekali gus mengecilkan ruang dialog sihat manakala jurang persefahaman dalam komuniti pula semakin melebar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Simposium Harmoni 2026 anjuran Sekretariat Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia Keharmonian Kaum dan Agama di Bangunan Parlimen semalam.

Aaron berkata sebagai usaha pengukuhan jangka panjang, JPNIN mengadakan sesi libat urus dengan pelbagai pihak berkepentingan bagi mendapatkan pandangan awal berhubung cadangan penubuhan Suruhanjaya Keharmonian Nasional (SKN).

“Suruhanjaya ini dicadangkan berfungsi sebagai mekanisme institusi yang menumpukan kepada aspek pencegahan awal, mediasi dan penyelesaian konflik secara harmoni serta konstruktif selain berperanan menyiasat sebarang isu yang boleh menjejaskan keharmonian negara,” katanya.– BERNAMA