Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

JOHOR BAHRU: Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional menyalurkan pembiayaan berjumlah RM52 juta kepada 2,400 usahawan di Johor bagi tempoh 1 Januari hingga 31 Mei lalu, menjadikan negeri itu ketiga tertinggi yang menerima pembiayaan tabung berkenaan di seluruh negara.

Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dalam kenyataan hari ini memaklumkan, daripada keseluruhan penerima pembiayaan itu, sebanyak 64 peratus ialah usahawan wanita, sekali gus membuktikan golongan itu memainkan peranan yang amat penting dalam aktiviti keusahawanan, dan menjadi antara pemacu utama pertumbuhan ekonomi negara.

“Penerima pembiayaan TEKUN di Johor kebanyakannya terlibat dalam sektor perkhidmatan dengan sebanyak 1,183 usahawan diikuti sektor peruncitan (669), pembuatan (260), kontraktor kecil (234) serta pertanian dan perusahaan asas tani (54),” menurut kenyataan itu.

Perkara itu dimaklumkan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim pada Majlis Ramah Mesra bersama kira-kira 400 usahawan TEKUN Johor, baru-baru ini.

Sim berkata, majoriti usahawan TEKUN terdiri daripada usahawan mikro dan komuniti yang menjadi antara tulang belakang ekonomi rakyat, sejajar dengan landskap perusahaan negara, yang hampir 80 peratus daripada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di Malaysia terdiri daripada perusahaan mikro.

Beliau berkata, pembiayaan TEKUN bukan sekadar menyediakan modal perniagaan, malah turut membuka ruang kepada peningkatan teknologi, keupayaan perniagaan dan produktiviti usahawan. 

Sim turut menzahirkan penghargaan kepada para usahawan TEKUN atas dedikasi mereka dalam membangunkan perniagaan serta meningkatkan kesejahteraan keluarga masing-masing, di samping menyumbang sebagai antara penggerak ekonomi rakyat dan negara.

Beliau berkata, KUSKOP menyediakan ekosistem keusahawanan yang menyeluruh, merangkumi pembiayaan mikro melalui TEKUN Nasional dan Amanah Ikhtiar Malaysia, pembiayaan pertumbuhan menerusi SME Corp Malaysia, SME Bank dan Bank Rakyat, sehinggalah kepada latihan dan pembangunan kapasiti melalui Institut Keusahawanan Negara, Institut Koperasi Malaysia serta pelbagai agensi lain di bawah kementerian itu. -BH Online