PUTRAJAYA: Tema `Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati’ dipilih bagi sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2026 (HKHM2026) tahun ini, manakala logo Malaysia MADANI dikekalkan sebagai logo rasmi sambutan sehingga tahun hadapan.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata sambutan Hari Kebangsaan 2026 akan diadakan di Dataran Putrajaya pada 31 Ogos dalam skala sederhana tetapi meriah.
“Pemilihan tema ini memberikan gambaran visi kerajaan untuk mewujudkan sebuah negara yang maju, inklusif dan harmoni, yang bermaksud setiap individu dapat menikmati kesejahteraan secara menyeluruh.
“Fokus utama tema ini adalah untuk memastikan bahawa kesejahteraan bukan hanya dikecapi oleh golongan tertentu, tetapi untuk seluruh rakyat Malaysia,” katanya pada sidang media pasca mesyuarat Jemaah Menteri di sini, hari ini.
Fahmi, yang juga jurucakap Kerajaan MADANI, menyeru pengamal media membantu menyebarluaskan tema HKHM2026 supaya semangat penghayatannya dapat diterapkan kepada setiap lapisan masyarakat menjelang sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos dan Hari Malaysia pada 16 Sept.
Beliau berkata program dan aktiviti sepanjang sambutan HKHM2026 boleh diperoleh menerusi portal rasmi Merdeka360.
Mengenai kelainan sambutan tahun ini, Fahmi berkata beberapa elemen unik yang sedang dirancang, namun masih terlalu awal untuk didedahkan.
“Untuk maklumat semua, program dan aktiviti sepanjang bulan kebangsaan tetap disambut dengan meriah walaupun dilaksanakan secara sederhana,” katanya.
Fahmi berkata Majlis Peluncuran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2026 akan diadakan di Ipoh, Perak pada 18 Julai, manakala Sambutan Hari Malaysia 2026 pada 16 September, di Sarawak.
“Pemilihan Sambutan Hari Malaysia 2026 di Sarawak adalah bertepatan dengan amalan penggiliran tahunan lokasi sambutan antara Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia, dengan matlamat untuk memperkukuh semangat kebersamaan serta perpaduan antara semua wilayah di negara ini,” katanya.
Bagi merancakkan sambutan HKHM2026, Fahmi berkata tujuh program sisipan dan aktiviti patriotik disusun di seluruh negara, iaitu Kembara Bahasa HKHM, Quran Hour, Ambang Merdeka, Kira Detik Merdeka, RIUH Merdeka serta Majlis Memperingati Negarawan.– BERNAMA
