Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

JOHOR BAHRU: Inisiatif Perumahan Kasih Johor (PKJ) 4.0 memberi manfaat kepada kira-kira 5,000 pembeli rumah di negeri ini sebagai usaha kerajaan Johor memperkukuh agenda pemilikan kediaman rakyat.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata inisiatif itu membuktikan komitmen berterusan kerajaan negeri dalam memastikan lebih ramai Bangsa Johor mampu memiliki rumah sendiri, khususnya golongan muda.

Beliau berkata, kerajaan negeri sentiasa mengambil kira keperluan rakyat yang bukan sahaja berdepan cabaran untuk membeli rumah, malah memerlukan sokongan selepas memiliki kediaman bagi meringankan beban kos permulaan serta penyesuaian hidup.

“Sejak awal memegang amanah ini, antara agenda paling utama yang kita usahakan di peringkat kerajaan negeri ialah perumahan.

“Kita mendengar rintihan Bangsa Johor, khususnya anak-anak muda yang bertanya sama ada rumah mampu milik di Johor sekadar untuk dilihat sahaja. Itu merupakan teguran yang membina dan menjadi tanggungjawab kita untuk membela mereka,” katanya pada Majlis Penyerahan Inisiatif PKJ Fasa 4 di Austin International Convention Centre (AICC), di sini, hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Mohd Jafni Md Shukor serta Ketua Eksekutif Perbadanan Kemajuan Perumahan Johor (PKPJ), Datin Paduka Dr Suhailizan Suliman.

Onn Hafiz berkata, pelbagai penambahbaikan dan inovasi yang dilaksanakan PKPJ membolehkan lebih ramai rakyat menerima bantuan, termasuk bantuan pembelian rumah pertama, bantuan kemasukan ke rumah baharu serta bantuan sewa rumah.

Beliau berkata, menerusi Inisiatif Perumahan Kasih Johor (PKJ) Fasa 4, sebanyak RM20.75 juta diperuntukkan bagi membantu kira-kira 5,000 penerima, merangkumi Bantuan Beli Rumah Pertama sebanyak RM5,000, Bantuan Masuk Rumah Pertama (RM2,000) serta Bantuan Sewa Rumah berjumlah RM2,500 kepada penerima yang layak.

“Tidak pernah dalam sejarah ada penerima yang mendapat bantuan sehingga RM7,000 melalui gabungan bantuan beli rumah dan bantuan masuk rumah. Ini menunjukkan keberkesanan sistem yang dilaksanakan,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri akan terus memperkukuh agenda perumahan rakyat supaya lebih ramai rakyat Johor dapat menikmati kediaman yang selesa serta mampu milik.

Onn Hafiz turut menegaskan kerajaan negeri kekal komited membantu rakyat tanpa mengira kaum, selain menyeru masyarakat agar terus memelihara perpaduan dan tidak terpengaruh dengan sebarang unsur yang boleh menggugat keharmonian negeri.-BERNAMA