KUALA LUMPUR: Sukan karate akan dipertimbangkan untuk disenaraikan dalam Kejohanan Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM), kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Pembangunan Sukan berkata, cadangan itu akan dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet pada minggu hadapan.
“Itu adalah permintaan (yang dikemukakan). Kami akan bawa perkara ini ke mesyuarat Kabinet untuk meminta Menteri Pendidikan (Fadhlina Sidek) beri pertimbangan agar sukan karate dimasukkan dalam MSSM,” katanya selepas merasmikan Kejohanan Karate Terbuka Antarabangsa 2026 di Stadium Titiwangsa di sini hari ini.
Kejohanan yang memasuki edisi ke-25 itu menghimpunkan lebih 1,850 peserta dari 17 negara.
Terdahulu, Presiden Persatuan Karate Putrajaya Datuk P Thiagu selaku penganjur kejohanan itu meminta agar karate dimasukkan dalam kalendar MSSM sebagai langkah memperkukuh pembangunan sukan berkenaan di peringkat akar umbi.
“Ini usaha kami nak masukkan karate dalam kalendar MSSM. Sekarang karate menjadi sukan pilihan di sekolah, jadi jika ia dimasukkan kita dapat melahirkan lebih banyak atlet berkemampuan dalam sukan karate.
“Kami harap ia dapat dilaksanakan dalam masa terdekat,” katanya.-BH Online
