PUTRAJAYA: Kerajaan MADANI terus memperkukuh pelaksanaan Dasar Peluang Kedua Insolvensi sebagai pendekatan yang lebih progresif, berperikemanusiaan dan berorientasikan kesejahteraan rakyat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata dasar itu bukan sekadar mekanisme perundangan tetapi satu komitmen kerajaan untuk memberi peluang kepada individu yang layak keluar daripada belenggu kebankrapan, memulakan lembaran baharu dan kembali aktif dalam ekonomi negara.
“Kerajaan MADANI percaya setiap insan berhak diberikan peluang kedua. Masalah kewangan boleh menimpa sesiapa saja akibat kehilangan pekerjaan, kegagalan perniagaan mahu pun cabaran hidup yang tidak diduga.
“Apa yang lebih penting adalah menyediakan ruang untuk mereka membina semula kehidupan dan kembali menyumbang kepada keluarga, masyarakat serta negara,” katanya berucap merasmikan Karnival Jelajah Dasar Peluang Kedua Insolvensi 2026, di sini hari ini.
Yang turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Insolvensi (MdI), Datuk Ishak Bakri.
Azalina berkata, Karnival Jelajah Dasar Peluang Kedua Insolvensi akan dilaksanakan di seluruh negara sepanjang tahun ini bagi memastikan maklumat dan perkhidmatan kerajaan dapat disampaikan terus kepada rakyat tanpa mengira lokasi atau latar belakang.
Beliau turut mahu karnival menjadi program tahunan MdI, yang mampu meningkatkan kesedaran rakyat mengenai Dasar Peluang Kedua dan manfaat yang disediakan kerajaan serta memberi penerangan berkaitan proses pelepasan kebankrapan secara jelas dan mudah difahami.
Selain itu, ia membawa perkhidmatan MdI terus kepada masyarakat di seluruh negara dan mengurangkan stigma masyarakat terhadap individu yang pernah diisytiharkan bankrap.
“Pendekatan turun padang ini membolehkan rakyat memperoleh maklumat yang tepat, meningkatkan celik kewangan dan mengurangkan stigma terhadap individu yang pernah berdepan masalah kewangan,” katanya.
Azalina berkata, pelbagai aktiviti dan perkhidmatan disediakan sepanjang karnival yang berlangsung selama tiga hari, bermula hari ini itu, termasuk pembidaan aset yang disita MdI, kaunter semakan status kes kebankrapan, sesi konsultasi dan khidmat nasihat secara percuma serta taklimat berkaitan proses pelepasan kebankrapan dan Dasar Peluang Kedua.
Pada masa sama, program literasi kewangan bagi meningkatkan kesedaran pengurusan kewangan yang berhemah turut dianjurkan, selain pameran membabitkan pelbagai agensi kerajaan dan rakan strategik yang menawarkan perkhidmatan berkaitan pemulihan kewangan serta kesejahteraan rakyat.
“Tahniah kepada MdI dan semua pihak yang menjayakan penganjuran karnival ini. Saya harap karnival ini menjadi pemangkin kepada usaha membina masyarakat yang lebih inklusif, celik kewangan dan bebas daripada stigma kebankrapan.
“Apa yang lebih penting, ia memberi harapan baharu kepada mereka yang benar-benar memerlukan peluang kedua untuk membina masa depan yang lebih baik,” katanya.-BH Online
