Sorting by

×
Screenshot
Hantar Berita Ini:

DENGKIL: Kerajaan akan membangunkan lebih banyak perumahan untuk penjawat awam di tanah milik kerajaan dengan kadar sewa lebih murah bagi membantu mengurangkan beban kos sara hidup golongan itu, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata, langkah itu diambil susulan peningkatan kadar sewa rumah yang memberi kesan kepada penjawat awam, terutama di bandar utama.

“Saya dalam perjalanan hari itu di Pulau Pinang, Perak, Negeri Sembilan, Johor, dan Kuala Lumpur, masalah dihadapi penjawat awam ini serius iaitu kadar sewa meningkat. 

“Walaupun kita naikkan gaji mereka di antara 15 (peratus), maksimum 30 peratus, tetapi kadang-kadang kalau di Johor Bahru, di Kuala Lumpur, di Seremban, di Ipoh, tak dapat menampung kadar sewa yang meningkat,” katanya selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Jameatus Solehah Pekan Dengkil di sini, hari ini.

Anwar berkata, kerajaan akan menyegerakan pelaksanaan inisiatif berkenaan sebagai sebahagian daripada usaha berterusan memperkukuh kebajikan penjawat awam.

“Jadi kita sudah melaksanakannya di Johor Bahru, tanah kerajaan di Kuala Lumpur, tanah milik kerajaan sama ada untuk kastam atau polis, sebaik saja ada ruang, kita akan bangunkan perumahan untuk penjawat awam.

“(Langkah itu) bagi mendapatkan sewa yang murah, jadi tidak membebankan keluarga. Ini langkah kita ambil dan akan disegerakan,” katanya.-BH Online