KUALA LUMPUR: Kerajaan tiada perancangan khusus untuk menghantar warga Malaysia ke bulan, kerana penyertaan negara dalam program Artemis Accords yang bermula pada 2020 bukan bertujuan ke arah itu.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang, berkata kerajaan bagaimanapun tidak pernah menutup pintu kepada kemungkinan menghantar angkasawan negara ke orbit atau ke bulan pada masa hadapan.
“Sebarang keputusan untuk melaksanakan misi sedemikian pada masa hadapan akan diteliti dengan amat mendalam, berdasarkan kepentingan sains, pulangan strategik kepada negara dan yang paling utama, kedudukan kewangan negara.
“Keutamaan kerajaan pada masa ini adalah jelas iaitu memastikan pembabitan substantif kepakaran anak Malaysia dalam pembangunan teknologi, instrumentasi dan infrastruktur angkasa yang memberi pulangan ekonomi yang nyata kepada negara,” katanya dalam jawapan bertulis Dewan Rakyat semalam.
Beliau menjawab pertanyaan Tan Kok Wai (PH-Cheras) yang meminta kerajaan menjelaskan sama ada warga Malaysia akan dihantar ke bulan selepas menyertai Artemis Accords dan program terjadual akan dilaksanakan.
Lih Kang berkata, Artemis Accords bukan satu program penghantaran angkasawan ke bulan.
“Artemis Accords, yang diwujudkan pada tahun 2020, adalah satu set prinsip, garis panduan dan amalan terbaik yang bersifat praktikal serta tidak mengikat dari segi perundangan untuk eksplorasi dan penggunaan bulan, Marikh, komet dan asteroid bagi tujuan aman,” katanya. -BH Online
