KUALA LUMPUR: Sebanyak 338 ladang penternakan babi berdaftar di Malaysia pada tahun lalu, turun berbanding 435 ladang pada tahun 2024.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, berkata dari segi pengeluaran, pada tahun 2025, anggaran sebanyak 115,283.7 tan metrik daging babi dikeluarkan manakala 136,506.30 tan metrik, pada tahun lalu.
“Jumlah keperluan daging bagi bagi pasaran Malaysia, anggaran keperluan domestik pada tahun 2025 adalah sebanyak 213,927.92 tan metrik.
“Anggaran ini dibuat berdasarkan keperluan penggunaan daging babi dalam kalangan penduduk bukan Islam yang merangkumi 36.5 peratus daripada jumlah penduduk Malaysia.
“Pada tahun lalu juga jumlah bekalan daging babi negara dianggarkan sebanyak 221,958.69 tan metrik dan bekalan adalah mencukupi,” katanya menjawab pertanyaan Lim Lip Eng (PH-Kepong).
“Jabatan Perkhidmatan Veterinar akan terus memantau prestasi pengeluaran daging babi negara, termasuk bilangan ladang babi berdaftar, kapasiti pengeluaran, risiko penyakit seperti ASF, serta keperluan bekalan bagi memastikan pasaran tempatan kekal stabil dan mencukupi,” katanya. -BH Online

