KUALA LUMPUR: Kementerian Pertahanan (MINDEF) akan memastikan pemodenan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terus dilaksanakan mengikut jadual, terutama dalam tempoh 2026 hingga 2030.
Ia antara empat tumpuan utama digariskan demi memastikan segala faktor luar kawalan seperti tindakan negara asing, krisis bekalan tenaga, perubahan teknologi dan ketidakstabilan geopolitik tidak terus menggugat kesiagaan.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata episod pembatalan lesen eksport peluru berpandu antikapal (NSM) oleh Norway sahaja sudah cukup untuk menjadi pengajaran besar, membuktikan negara tidak boleh berdiam diri.
Mengulas aspek pemodenan, beliau memberi contoh penerimaan tiga unit Sistem Pesawat Tanpa Pemandu (UAS) ANKA MALE Fasa 1 pada Mac lalu yang ditempatkan dan mula beroperasi di Pangkalan Udara Labuan, selain beberapa aset lagi yang bakal diterima seperti Fighter Lead In Trainer Light Combat Aircraft (FLIT-LCA), Pesawat Rondaan Maritim (MPA) dan Kapal Misi Pesisir (LMS) Batch 2.
“Kementerian juga akan memberi tumpuan kepada pembangunan keupayaan pertahanan masa hadapan, antaranya melalui penerapan teknologi kecerdasan buatan (AI), pengukuhan keupayaan pertahanan siber secara bersepadu, pembangunan keupayaan peperangan elektronik, penguasaan spektrum elektromagnetik serta keupayaan satelit pertahanan negara dalam operasi ketenteraan, yang diterajui oleh Pemerintahan Siber dan Elektromagnetik Pertahanan (PSEP),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Pelan Strategik Pertahanan Negara (PSPN) 2026-2030 dan Rangka Tindakan Kapasiti Pertahanan (RTKP), hari ini.
Terdahulu, Mohamed Khaled berkata Malaysia akan terus memperkukuh saluran diplomasi pertahanan, satu kekuatan yang sebati dengan identiti negara yang dilihat penting untuk mengekalkan kedaulatan tanah air dalam sebarang situasi.
Katanya, Malaysia akan terus memanfaatkan ‘convening power’, iaitu keupayaan untuk menghimpunkan negara-negara yang mungkin tidak sehaluan dari sudut politik, tetapi boleh duduk di satu meja untuk berbincang dan berdialog.
“Pendekatan ini membantu mengimbangi pengaruh kuasa dan memperkukuh faktor cegah rintang atau ‘credible deterrence’ di rantau ini.
“Malaysia juga berpendirian bahawa keamanan perlu dibina dan dipelihara melalui dialog, keyakinan bersama dan kerjasama serantau,” katanya.
Dalam pada itu, Mohamed Khaled juga mengakui pertahanan hari ini tidak boleh dirancang secara bersendirian, tetapi mesti dibangunkan secara bersama oleh semua pihak.
Beliau berkata, buat pertama kalinya, Pelan Strategik MINDEF dijenamakan semula sebagai Pelan Strategik Pertahanan Negara, sebagai satu anjakan paradigma yang melambangkan bahawa pertahanan bukan lagi agenda Kementerian Pertahanan semata-mata, sebaliknya sebuah agenda nasional yang melibatkan seluruh negara.
Kementerian Pertahanan juga, katanya akan sentiasa meletakkan kesejahteraan anggota dan veteran ATM sebagai tonggak utama kerana pemerkasaan kesejahteraan anggota akan turut meningkatkan kesiapsiagaan pertahanan negara.
“Insya-Allah, semua inisiatif ini akan dilaksanakan secara berfasa dan bersepadu, selari dengan tempoh lima tahun PSPN 2026-2030,” katanya.-BH Online
