KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat hari ini memutuskan Rang Undang-Undang Penjara (Pindaan) 2026 yang kini sudah selesai dibahaskan di peringkat bacaan kali kedua akan dirujuk ke Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (JPKP).
Perkara itu diputuskan Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Dr Ramli Mohd Nor selepas berakhir sesi penggulungan RUU berkenaan oleh Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah.
Sebelum itu, Shamsul Anuar memaklumkan kerajaan setuju RUU itu dirujuk sekali lagi ke jawatankuasa bagi diteliti semula terutama yang menyentuh seksyen-seksyen yang dibangkit ketika sesi perbahasan.
“Menurut Peraturan Mesyuarat 62, saya bagi pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN) berhasrat untuk menangguhkan dulu RUU Penjara (Pindaan) 2026.
“Kementerian bersetuju membawa RUU ini sekali lagi ke JPKP keselamatan dan JKPK hak asasi (manusia, pilihan raya dan reformasi institusi) untuk diteliti terlebih dahulu,” katanya pada sesi penggulungan RUU itu di Dewan Rakyat hari ini.
Mengulas lanjut beliau berkata, RUU ini sudah pun dibentangkan kepada dua JPKP berkenaan pada 29 Oktober 2025 dan 16 Jun lalu.
“Secara umumnya, jawatankuasa-jawatankuasa berkenaan sudah memberi respon positif terhadap pindaan-pindaan yang dihasratkan kementerian,” katanya.
Terdahulu pada sesi penggulungan itu, beliau berkata, pindaan RUU ini memberi tumpuan kepada empat aspek utama, salah satunya bagi menangani isu kesesakan penjara melalui pendekatan pemulihan yang lebih dinamik.
“Saya tak ada angka tepat mengenai kesesakan penjara. Memang diakui bahawa (penjara) sesak melebihi daripada jumlah yang sepatutnya ada di dalam tembok penjara.
“Keduanya, ia bertujuan memperkukuhkan tadbir urus dan keselamatan serta pengoperasian institusi penjara itu sendiri. Selain untuk memperkasa program pemulihan latihan kemahiran dan juga pekerjaan kepada banduan-banduan dalam penjara,” katanya.
Selain itu katanya, pindaan juga bagi memperkukuh penglibatan komuniti dalam menyokong proses pemulihan dan reintegrasi pesalah ke dalam masyarakat.
“Sebenarnya Akta Penjara 1985 kali terakhir dipinda ialah pada 2015. Proses untuk penggubalan akta ini sudah kita lalui mengikut tertib dan sebagaimana yang disyaratkan, ia juga dibawa ke Jemaah Menteri pada 5 Julai 2024 dan 5 Jun 2026,” katanya.
RUU itu antara lain mencadangkan penggunaan peranti pengawasan elektronik serta pelantikan sukarelawan bagi program pemulihan banduan.
Pindaan itu turut membabitkan pengenalan bahagian baharu yang memberi kuasa kepada komisioner jeneral untuk mengarahkan pemasangan peranti pengawasan elektronik pada mana-mana banduan yang dikurung, dilepaskan secara lesen atau dilepaskan secara parol.-BH Online
