KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) akan menubuhkan satu jawatankuasa baharu, yang bertujuan untuk memastikan bekalan dan penawaran tenaga kerja kesihatan negara sentiasa memenuhi keperluan semasa.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dzulkefly Ahmad, berkata perbincangan awal antara KKM dan KPT sudah diadakan pada Selasa lalu dan mesyuarat pertama dijadualkan pada bulan hadapan.
Katanya, ekosistem pasaran kerja sektor perubatan dan kesihatan sedia ada dalam negara adalah membabitkan peranan pelbagai kementerian dan agensi.
“KPT bagi aspek latihan dan penghasilan graduan manakala KKM pula sebagai penyedia perkhidmatan kesihatan dan majikan terbesar untuk tenaga kerja kesihatan dalam negara;
“Sektor awam lain seperti KPT (hospital pengajar universiti), Kementerian Pertahanan (hospital angkatan tentera), Kementerian Sumber Manusia (fasiliti rehabilitasi di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial/PERKESO) serta Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (fasiliti kesihatan reproduktif di bawah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara/LPPKN).
“Sektor swasta yang menyediakan perkhidmatan kesihatan dan menawarkan peluang pekerjaan untuk petugas kesihatan dalam negara manakala Kementerian Kewangan dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bagi aspek perjawatan dan pembiayaan petugas kesihatan dalam sektor awam,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam pertanyaan lisan oleh Datuk Dr. Ahmad Yunus Hairi (PN-Kuala Langat), semalam. -BH Online
