Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan melakukan intervensi awal terhadap sebarang projek perumahan yang sakit dan terjejas akibat kesan kenaikan kos.

Menteri, Nga Kor Ming, berkata untuk tujuan itu, penambahbaikan dasar dan mekanisme Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1966 [Akta 118] akan dilaksanakan kementerian.

“Kerajaan akan terus menilai dan melaksanakan langkah-langkah yang bersesuaian bagi mengurangkan kesan kenaikan kos pembinaan dalam sektor perumahan.

“Antaranya penambahbaikan Akta 118 untuk memperkukuh pemantauan projek berisiko dan projek sakit serta melaksanakan intervensi awal bagi memastikan projek perumahan dapat diteruskan mengikut jadual dan tidak membebankan pembeli,” katanya menjawab pertanyaan lisan Wan Hassan Mohd Ramli (PN-Dungun), semalam.

Beliau berkata, KPKT juga akan terus menggalakkan penggunaan teknologi pembinaan yang lebih produktif dan cekap kos seperti Industrialised Building System (IBS), Building Information Modelling (BIM) dan kaedah pembinaan moden bagi mengurangkan kebergantungan kepada tenaga buruh serta meningkatkan kecekapan pembinaan dalam jangka panjang.

Katanya, pelaksanaan Skim Simen Rahmah juga akan membantu mengawal kos bahan binaan dan menyokong pembangunan rumah mampu milik.

“Inisiatif ini menawarkan simen pada harga yang lebih rendah berbanding harga pasaran serta diperluaskan kepada projek perumahan mampu milik di bawah Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan sektor swasta.

“Langkah ini dijangka dapat membantu mengurangkan tekanan kos pembinaan dan seterusnya menyokong penyediaan rumah pada harga yang lebih berpatutan kepada rakyat,” katanya.

Katanya, pelbagai inisiatif pemilikan rumah seperti Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP), Rent-to-Own (RTO) dan program perumahan mampu milik akan diperkukuhkan bagi membantu golongan berpendapatan rendah dan sederhana memiliki kediaman walaupun berdepan cabaran peningkatan kos sara hidup. -BH Online