Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PAS mengamalkan sikap ‘double standard’ dalam memberi ulasan dan reaksi berbeza dalam isu dua pemimpin bukan Islam memetik ayat al-Quran.

Setiausaha Agung PKR Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, tindakan PAS itu dapat dilihat menerusi reaksi berbeza terhadap Ahli Parlimen DAP Howard Lee dan Yau Chong Seng yang pernah berceramah di atas pentas parti itu.

Menurut Menteri Dalam Negeri (KDN) itu, individu itu mengulas surah al Baqarah ayat 83 dan pada akhir ceramah melaungkan takbir tiga kali dan tiga kali juga disambut “Allahuakbar” oleh hadirin.

“Salah ke? Takkkk.. ini hasil kejayaan tarbiah kami.

“Horward Lee? Kamu tak layak petik ayat Quran, awas kamu jangan naikkan kemarahan umat Islam, kamu jengan hina agama kami.. jutaan umat Islam akan berdemo!

“Yau Chong Seng dan Horward Lee dua-dua bukan Islam. Dua-dua petik ayat Quran dalam ucapan. Lalu kenapa ulasan dan reaksi mesti berbeza?,” soal Saifuddin dalam hantaran di Facebook.

Dalam hantaran itu, Saifuddin berkongsi satu tangkap layar video ceramah seorang lelaki bukan Islam bernama Yau Chong Seng yang berceramah di pentas PAS.

Jumaat lalu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain mengesahkan polis akan merekod keterangan Howard yang dikatakan membuat tafsiran sendiri berkaitan ayat al-Quran dalam masa terdekat.

Siasatan akan dijalankan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) JSJ Bukit Aman susulan laporan asal atau laporan pertama mengenainya yang dibuat di Balai Polis Jalan Tun Razak.

Dalam kes itu, Setiausaha Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM), Nurhafizul Badrul Hisyam juga sudah memberi keterangan kepada polis sebagai saksi di Bukit Aman.

Terdahulu, Ketua Dewan Pemuda PAS Perak turut menyifatkan Howard sebagai kurang ajar dan cuba memprovokasi apabila mendakwa Ahli Parlimen DAP itu menjadi pentafsir kepada al-Quran dengan memutarbelit tafsir ayat 59 surah an-Nisa.

Ketua Pemuda PAS Perak yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Manjoi Hafez Sabri dilaporkan berkata, penafsiran dibuat oleh Howard menerusi video tular itu amat dangkal serta mengandungi unsur provokasi melampau terhadap kesucian agama Islam. –Media Perpaduan