MEKAH: Malaysia sekali lagi mengukir kejayaan di pentas antarabangsa apabila menerima Anugerah Labbaitom buat kali kelima berturut-turut, sekali gus mengiktiraf kecemerlangan pengurusan haji negara sebagai antara yang terbaik di dunia.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Zulkifli Hasan berkata, pengiktirafan berprestij itu merupakan bukti kejayaan keseluruhan pengurusan musim haji tahun ini sehingga membawa pengiktirafan tertinggi daripada Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi menerusi Diamond Award Labbaitom.
Beliau berkata, kejayaan tersebut tidak terlepas daripada komitmen tinggi Lembaga Tabung Haji(TH) bersama seluruh petugas termasuk pasukan kesihatan Kementerian Kesihatan Malaysia dan petugas kebajikan yang memberikan perkhidmatan terbaik kepada jemaah.
“Kita ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pengurusan Tabung Haji dan semua petugas yang telah menunjukkan mutu perkhidmatan yang diiktiraf dunia sebagai antara terbaik,” katanya.
Menurut beliau, antara kekuatan utama pengurusan haji Malaysia adalah pendekatan holistik yang menggabungkan kaedah konvensional dan teknologi moden termasuk penggunaan kecerdasan buatan (AI) serta aplikasi digital bagi meningkatkan kecekapan perkhidmatan.
“Tabung Haji bukan sahaja menggunakan pendekatan tradisional, tetapi juga mengintegrasikan teknologi seperti AI dan aplikasi digital termasuk e-TAIB yang membantu menjawab pertanyaan jemaah secara masa nyata,” jelasnya.
Tambah beliau, inisiatif seperti Green Hajj dan kempen kebersihan turut diperkenalkan bagi menyokong usaha kelestarian sepanjang musim haji.
Dalam aspek kesihatan, Dr Zulkifli memaklumkan tahap kesihatan jemaah haji Malaysia tahun ini berada dalam keadaan baik hasil persediaan rapi sejak awal.
Mengulas mengenai Anugerah Labbaitom, Dr Zulkifli berkata pengiktirafan kategori Diamond itu merupakan pencapaian tertinggi dan menjadi kebanggaan seluruh rakyat Malaysia.
“Ini adalah bukti bahawa negara kita mampu memberikan yang terbaik. Anugerah ini adalah hadiah kepada seluruh rakyat Malaysia, khususnya pendeposit Tabung Haji, umat Islam dan para jemaah haji,” ujarnya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Arab Saudi serta Kementerian Haji dan Umrah atas kerjasama erat yang memudahkan pengurusan jemaah Malaysia.
Dalam pada itu, beliau menegaskan Tabung Haji akan terus melakukan penambahbaikan berterusan melalui proses penilaian menyeluruh selepas setiap musim haji.
“Seperti amalan kita, setiap tahun selepas haji kita akan lakukan post-mortem, menilai semua maklum balas dan penambahbaikan. Ini adalah antara formula kejayaan Tabung Haji untuk terus kekal sebagai yang terbaik,” katanya.
Kejayaan berterusan Malaysia dalam pengurusan haji bukan sahaja mencerminkan kecekapan sistem sedia ada, malah memperkukuh reputasi negara sebagai model rujukan utama dalam pengurusan jemaah haji di peringkat global.-Astro Awani
