KANGAR: Polis menjalankan siasatan berhubung penularan video memaparkan Menteri Besar Perlis, Abu Bakar Hamzah, dipercayai menembak seekor lembu korban menggunakan senapang patah.
Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusop berkata, siasatan awal sedang dijalankan walaupun setakat ini pihak polis belum menerima sebarang laporan rasmi berkaitan kejadian itu.
“Polis dah terima (penularan video) tetapi setakat ini belum menerima sebarang laporan polis berhubung kejadian. Bagaimanapun, siasatan awal sedang dijalankan,” katanya.
Beliau berkata, siasatan turut menjurus kepada jenis peluru yang digunakan.
“Sama ada peluru yang digunakan peluru hidup atau bukan kita masih dalam siasatan,” katanya.
Menurutnya, polis akan memanggil Menteri Besar tersebut untuk diambil keterangan.
Katanya, sebarang perkembangan terkini akan dimaklumkan kemudian.
Sebelum ini, tular video berdurasi 38 saat memaparkan Abu Bakar menembak seekor lembu dipercayai untuk ibadah korban.
Sementara itu, Abu Bakar dalam penjelasannya kepada media mempertahankan tindakannya menembak seekor lembu korban yang didakwa mengamuk demi keselamatan orang ramai.
Menurutnya, dakwaan di media sosial menggambarkan seolah-olah lembu korban disembelih menggunakan kaedah tembakan adalah tidak benar.
Katanya, hanya seekor lembu ditembak selepas haiwan itu terlepas daripada ikatan dan mengamuk, manakala 24 ekor lagi disembelih mengikut prosedur biasa.
“Saya bukan tembak suka-suka. Lembu itu mengamuk. Kalau dibiarkan dan ia tanduk orang sampai mati, siapa hendak jawab?
“Bila ia terlepas, kita tidak boleh buat apa lagi. Jadi saya ambil senapang dan tembak pada kaki…selepas ia jatuh, barulah kita sembelih,” katanya. -Sinar Harian
