JOHOR BAHRU: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan mengurniakan 148 lembu sempena ibadah korban Hari Raya Aidiladha tahun ini untuk diagihkan kepada rakyat Johor.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dalam satu kenyataan, menzahirkan ucapan menjunjung setinggi-tinggi kasih atas limpah perkenan dan kurniaan penuh bermakna itu.
“Sesungguhnya kurniaan penuh bermakna ini mencerminkan kasih sayang dan keprihatinan Institusi Diraja Johor yang sentiasa dekat di hati rakyat Johor.
“Patik dan seluruh rakyat jelata merafak sembah setinggi-tinggi kasih serta mendoakan semoga Kebawah Duli Tuanku sekeluarga sentiasa dikurniakan kesihatan, kesejahteraan dan berada dalam rahmat serta lindungan Allah,” katanya.
Terdahulu, beliau bersama isteri, Datin Sharmin Fazlina Mohd Shukor berkesempatan turun padang di Simpang Renggam, Kluang sempena sambutan Aidiladha tahun ini.
Katanya, program bermula dengan Ziarah Kasih Keluarga Angkat di Kampung Batu 7 sebelum bersama-sama masyarakat setempat menjayakan Program Korban Perdana Simpang Renggam.
Dalam program itu, sebanyak 32 lembu korban diagihkan di seluruh kawasan berkenaan termasuk masjid, surau, kampung dan pelbagai pihak.-BH Online
