PUTRAJAYA: Kerajaan sedang berusaha memastikan bekalan tenaga negara dapat dilanjutkan sehingga Disember ini susulan krisis yang berlaku akibat konflik di Asia Barat, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.
Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, berkata setakat ini keterjaminan bekalan tenaga negara dijangka mencukupi sehingga Julai ini dengan usaha sedang dilaksanakan termasuk mendapatkan sumber dari luar negara.
“Kita mahu mengurangkan penggunaan dan menjimatkan sebenarnya penggunaan tenaga, supaya kita dapat memanjangkan tempoh hayat bekalan minyak serta gas kita.
“Setakat ini, insya-Allah keterjaminan bekalan tenaga kita sehingga Julai.
“Petronas sedang bertungkus lumus mendapatkan sumber bekalan, malah terpaksa pergi ke Afrika sekalipun, insya-Allah kita akan dapat keterjaminan bekalan tenaga kita sehingga Disember depan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan inisiatif Rebat Solar dan Bantuan Insentif Kelestarian (SuRIA) Home pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) di sini, hari ini.
Turut hadir, Timbalan Menterinya, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad dan Ketua Setiausaha PETRA, Datuk Mad Zaidi Mohd Karli.
Mengulas lanjut, Fadillah berkata, kriss tenaga global yang dihadapi ketika ini memberi kesan kepada keseluruhan rantaian ekonomi.
“Banyak akan terasa kesannya dalam fasa kedua dan ketiga disebabkan kurangnya bekalan, maka ia memberi kesan pada sektor lain seperti perubatan sebab plastik diperlukan untuk pembungkusan dan juga banyak perkara lain.
“Begitu juga (sektor) pembuatan dan sebagainya, ini sudah pasti memberi kesan kepada rakyat keseluruhannya, apatah lagi negara kita juga terkesan dengan subsidi yang begitu besar terpaksa ditanggung kerajaan demi mengekang kesannya kepada rakyat,” katanya.
Beliau berkata, mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) yang diadakan setiap minggu melaksanakan pelbagai libat urus dengan pelbagai sektor untuk melihat bagaimana kesan krisis memberi impak kepada sektor ekonomi negara.
“(Mesyuarat MTEN) juga untuk melihat bagaimana kerajaan dapat membantu mengurangkan kesan terbabit, memastikan kelangsungan perniagaan khususnya perusahaan kecil dan sederhana (SME).
“Inilah yang kita laksanakan dan ia memerlukan kerjasama semua, setiap lapisan masyarakat perlu melaksanakan tanggungjawab mereka, khususnya apabila kita melaksanakan kerja di rumah (BDR), bekerjalah bersungguh-sungguh di rumah dan bukannya di luar rumah,” katanya.-BH Online
