KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan bekalan tenaga negara mencukupi walaupun ketika ini berdepan kesan krisis bekalan tenaga global akibat konflik di Asia Barat.
Kenyataan Perdana Menteri itu susulan jangkaan bekalan tenaga negara dijangka mencukupi sehingga Julai ini, dengan kerajaan sedang melaksanakan usaha, termasuk mendapatkan sumber tenaga dari luar negara.
“Insya-Allah, cukup,” katanya kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat bersama kira-kira 1,500 jemaah di Masjid Al-Muttaqin, Wangsa Maju di sini.
Hari ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, memaklumkan kerajaan sedang berusaha memastikan bekalan tenaga negara dapat dilanjutkan sehingga Disember ini susulan krisis tenaga global.
Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, berkata setakat ini keterjaminan bekalan tenaga negara dijangka mencukupi sehingga Julai ini dan usaha sedang dilaksanakan kerajaan, termasuk mendapatkan sumber dari luar negara.
Katanya, PETRONAS sedang mendapatkan sumber bekalan, termasuk ke Afrika bagi memastikan keterjaminan bekalan untuk rakyat.
Terdahulu, Perdana Menteri tiba di Masjid Al-Muttaqin kira-kira jam 1 tengah hari dan bersalaman dengan jemaah lain.
Jemaah, termasuk kanak-kanak yang hadir turut mengambil kesempatan mendapatkan tanda tangan dan bergambar bersama beliau.-BH Online
