IPOH: Perak dijangka menerima pelaburan tambahan bernilai RM263 juta daripada Ningbo Fresh Technology Co Ltd, syarikat pembuatan komponen automotif berpangkalan di Ningbo, Zhejiang, China, menerusi peluasan operasi syarikat itu di taman perindustrian Tanjong Malim Hi-Tech Park, Tanjong Malim.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, berkata hasrat pelaburan tambahan itu dimaklumkan susulan kunjungan delegasi kerajaan negeri ke syarikat berkenaan di Shanghai, China, pada Rabu lalu.
Kata Saarani, sebagai antara pelabur perintis di Tanjong Malim Hi-Tech Park, Ningbo Fresh Technology sebelum ini sudah mempunyai kilang pembuatan komponen automotif yang sedang beroperasi di Tanjong Malim, justeru tambahan pelaburan itu dijangka merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi negeri.
“Selepas beroperasi di Tanjong Malim, mereka kini berhasrat mengembangkan lagi operasi dengan pelaburan bernilai RM263 juta di Tanjong Malim Hi-Tech Park bagi pasaran tempatan dan eksport,” kata Saarani menerusi hantaran.
Saarani berkata, selain merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi negeri, pelaburan itu dapat mewujudkan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi serta mempercepat pemindahan teknologi dan pembangunan bakat tempatan.
Katanya, pelaburan tambahan itu dijangka membuka sekitar 400 hingga 600 peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan, sekali gus merancakkan pertumbuhan ekonomi dan pembangunan bakat industri di Perak.
“Perak akan terus memperkukuh kedudukannya sebagai destinasi pelaburan strategik bagi industri automotif, teknologi tinggi dan pembangunan industri masa hadapan,” katanya.
Ningbo Fresh Technology terbabit dalam aktiviti reka bentuk serta pengeluaran produk berteknologi tinggi seperti acuan tuangan logam, tuangan logam bertekanan tinggi, kerja pemesinan dan rawatan permukaan termasuk anodizing serta mengecat, khusus bagi menyokong perkembangan industri automotif.
Kehadiran Ningbo Fresh Technology turut memperkukuh pembangunan taman perindustrian yang dibangunkan oleh Setia Awan Group yang memainkan peranan penting dalam menyokong pembangunan Automotive High-Tech Valley (AHTV) di Tanjong Malim sebagai hab automotif berteknologi tinggi negara.
Saarani kini mengetuai delegasi kerajaan negeri Perak dalam Misi Perdagangan dan Pelaburan ke China yang berlangsung dari 17 hingga 24 Mei ini, merangkumi beberapa sesi padanan perniagaan serta lawatan strategik berkaitan sektor automotif, bandar pintar, teknologi digital, pusat data dan tenaga hijau.
Siri lawatan itu sebahagian daripada usaha Kerajaan Negeri memperluas jaringan pelaburan antarabangsa, menarik pelaburan berkualiti serta meneroka peluang kerjasama baharu yang mampu memberi nilai tambah kepada pembangunan ekonomi negeri.-BH Online
