KUALA LUMPUR, 21 Mei– Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengeluarkan tuntutan statutori terhadap TikTok susulan kegagalan platform media sosial itu menurunkan kandungan bersifat menghina, memfitnah serta akaun palsu yang dikaitkan dengan institusi diraja secara serta-merta.
Isu berkenaan dilaporkan melibatkan hantaran daripada sebuah akaun yang secara palsu mendakwa mempunyai kaitan dengan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.
MCMC dalam satu kenyataan menegaskan, hantaran tersebut mengandungi kenyataan yang jelik melampau, palsu, berunsur ancaman dan menghina.
Malah, ia turut memuat naik kandungan video yang dijana menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) serta imej yang dimanipulasi.
Perbuatan tersebut bukan sahaja melanggar Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM 1998), malah turut melanggar undang-undang jenayah lain di Malaysia.
“MCMC memandang serius sebarang penyalah gunaan platform dalam talian bagi menyebarkan kandungan yang jelik melampau, palsu, berunsur ancaman atau memudaratkan ketenteraman awam, khususnya apabila melibatkan institusi Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu.”
“Perkara ini tergolong dalam konteks 3R (Kaum, Agama dan Institusi Diraja) yang amat sensitif dan boleh menjejaskan ketenteraman awam, keharmonian negara serta penghormatan terhadap Institusi Perlembagaan,” katanya.
Suruhanjaya itu turut menjelaskan, meskipun makluman dan sesi libat urus telah dilaksanakan sebelum ini, respons yang diberikan oleh TikTok dalam menangani isu berkenaan didapati tidak memuaskan.
Platform itu gagal memastikan kandungan terbabit diturunkan dengan segera selain gagal menghalang penyebaran lanjut bahan yang memudaratkan itu.
Justeru, MCMC mengingatkan bahawa selaku penyedia perkhidmatan media sosial di Malaysia, pihak pengurusan platform memikul tanggungjawab besar bagi memastikan aplikasi mereka tidak dieksploitasi untuk aktiviti yang menyalahi undang-undang.
“TikTok juga dikehendaki untuk memastikan penguatkuasaan yang lebih berkesan terhadap kandungan yang melanggar undang-undang Malaysia dan garis panduan komuniti platform. TikTok juga dikehendaki memberikan penjelasan rasmi berhubung kegagalan menangani kandungan mudarat tersebut,” katanya.
MCMC menegaskan akan terus mengambil tindakan kawal selia yang tegas dalam lingkungan bidang kuasanya, termasuk mengambil tindakan undang-undang demi membendung penyalahgunaan platform dalam talian.-Berita RTM
