Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Strategi Kepercayaan Digital dan Keselamatan Data dijangka dibentangkan pada suku ketiga tahun ini bagi memperkukuh keyakinan rakyat terhadap penggunaan teknologi digital serta kecerdasan buatan (AI).

Menteri Digital, Gobind Singh Deo, berkata strategi berkenaan akan dilaksanakan bersama penstrukturan semula peranan CyberSecurity Malaysia sebagai agensi utama yang bertanggungjawab menguatkuasakan pelaksanaan strategi terbabit.

Beliau berkata, aspek keselamatan dan keyakinan pengguna perlu diberi penekanan ketika negara bergerak ke arah era digital dan aspirasi menjadi negara AI menjelang 2030.

“Kita mahu rakyat menggunakan platform dan teknologi digital yang ada, tetapi dalam masa sama kita perlu memastikan aspek keyakinan dan keselamatan itu dapat dikekalkan,” katanya pada sidang media selepas pelancaran Program Kepercayaan Digital RHB (RHB Digital Trust) di sini, hari ini.

Gobind berkata, kerajaan juga mahu memastikan rakyat bersedia menghadapi perubahan teknologi yang bakal mengubah cara bekerja, kehidupan harian dan sistem pentadbiran negara.

Katanya, strategi keselamatan digital yang sedang dimuktamadkan bukan sahaja membabitkan dasar, malah turut mekanisme pelaksanaan menerusi agensi khusus di bawah CyberSecurity Malaysia.

Dalam pada itu, beliau berkata, kerjasama antara CyberSecurity Malaysia dengan institusi kewangan termasuk RHB Bank Bhd akan terus diperluaskan kepada sektor lain bagi memperkukuh aspek keselamatan digital negara.

RHB hari ini memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan CyberSecurity Malaysia bagi memperkukuh kesedaran dan daya tahan keselamatan siber dalam kalangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menerusi pelbagai inisiatif bersama, sebagai sebahagian daripada Program Kepercayaan Digital RHB.

Dalam pada itu, Gobind mengingatkan rakyat supaya meningkatkan kesedaran mengenai teknologi, memahami risiko penggunaan digital serta mengambil langkah keselamatan yang sewajarnya.

“Apabila rakyat yakin teknologi itu selamat, mereka akan lebih bersedia untuk menggunakannya dan memanfaatkan teknologi bagi memperkasakan kehidupan serta perniagaan,” katanya.-BH Online