SHAH ALAM: Kerajaan memperuntukkan RM20 juta bagi melaksanakan projek naik taraf laluan motosikal di Lebuhraya Persekutuan yang dijangka siap sepenuhnya pada Ogos ini.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata projek di bawah seliaan Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor itu kini mencapai kemajuan 43 peratus dan bakal memberi manfaat kepada lebih 34,000 pengguna laluan berkenaan.
“Projek itu bermula sejak tahun lalu menerusi Rolling Plan 5 (RP5) di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12).
“Sekarang kita memasuki Rolling Plan 1 (RP1) Rancangan Malaysia Ke-13, kerja projek ini masih berlangsung. Saya difahamkan projek itu akan selesai pada Ogos nanti,” katanya pada sidang media selepas Program Turun Padang Menteri Kerja Raya ke Projek Menaik Taraf Lorong Motosikal di Lebuhraya Persekutuan, hari ini.
Nanta Linggi berkata, projek itu memberi tumpuan kepada penambahbaikan infrastruktur keselamatan khususnya bagi laluan motosikal di sepanjang Lebuhraya Persekutuan.
“Matlamatnya untuk memastikan laluan motorsikal ini lebih selamat dan selesa digunakan,” katanya.
Nanta Linggi berkata, pelaksanaan projek itu membabitkan jajaran sepanjang 48 kilometer dua hala merangkumi daerah Klang sepanjang tujuh kilometer iaitu dari seksyen 10.4 hingga 13.9, manakala bagi daerah Petaling pula sepanjang 41 kilometer dari seksyen 13.9 hingga 34.4.
Beliau berkata, skop projek berkenaan membabitkan kerja baik pulih permukaan jalan di lokasi terpilih, pembaikan kawasan terowong, menaik taraf sistem saliran dan membaik pulih longkang.
Katanya, selain itu, ia turut merangkumi penggantian penghadang jalan, kerja mencantas dan menebang pokok, pembaikan railing jambatan serta penambahan papan tanda amaran dan destinasi.
“Projek ini juga membabitkan pemasangan lampu jalan jenis Integrated Solar LED (ISLED) bagi meningkatkan tahap keselamatan, keselesaan dan pencahayaan kepada pengguna jalan raya.
“Kementerian Kerja Raya (KKR) komited memastikan keterhubungan, aksesibiliti dan mobiliti rakyat terus dipertingkat melalui penyediaan rangkaian jalan motosikal yang berkualiti, selamat dan selesa,” katanya.
Mengulas usaha untuk memperluas projek berkenaan, Nanta Linggi berkata, pihaknya kini sedang meneliti laluan lain yang perlu untuk dinaik taraf.
“Kita sudah kenal pasti laluan yang perlu dinaik taraf. Jadi kita mohon peruntukan untuk usaha itu,” katanya.-BH Online
