PUTRAJAYA: Inisiatif Skim Simen RAHMAH diteruskan tahun ini dengan 1.6 juta tan simen diperuntukkan bagi menyokong sasaran penyediaan 500,000 unit pembinaan rumah mampu milik di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, berkata skim yang menawarkan simen dengan harga lebih rendah berbanding pasaran itu turut diperluas merangkumi projek perumahan mampu milik di bawah Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri serta swasta.
“Inisiatif ini komponen yang kritikal dalam komitmen kerajaan untuk memastikan perumahan negara tidak terhenti kerana sektor hartanah adalah antara tiang seri ekonomi negara,” katanya pada sidang media pelancaran Inisiatif Simen RAHMAH 2026, di sini hari ini.
Menerusi perluasan skop skim itu, katanya, projek di bawah Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) dan Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) serta pelbagai skim perumahan di bawah kerajaan negeri akan menikmati perlindungan kos melalui pengekalan harga subsidi simen.
Ia meliputi Simen Pukal, iaitu RM290 per tan atau penjimatan 31.8 peratus atau RM135 berbanding pasaran pada RM425, manakala Simen Kampit 50kg pada harga RM17.50 sekampit (penjimatan 29.7 peratus atau RM7.40 berbanding pasaran RM24.90).
“Inisiatif Simen RAHMAH pada fasa pertama akan menyediakan sebanyak 1.6 juta tan simen untuk menyokong projek rumah mampu milik yang berharga RM300 ke bawah seunit.
“Dengan menstabilkan kos simen, kita memberikan ‘ruang bernafas’ kepada pemaju untuk mengekalkan harga jualan yang rendah tanpa mengorbankan kualiti binaan.
“Penjimatan kos ini bertindak sebagai mekanisme kawalan harga jualan rumah, intervensi awal menghalang risiko projek sakit atau terbengkalai serta memastikan kualiti kediaman rakyat tidak dikompromi,” katanya.
Bagi memastikan tiada ketirisan, beliau berkata, proses permohonan skim itu akan diselaraskan sepenuhnya melalui Housing Integrated Management System (HIMS) oleh Jabatan Perumahan Negara bagi memastikan setiap ketetapan kriteria dipatuhi dengan ketat
Kor Ming berkata, inisiatif itu juga sebahagian daripada usaha proaktif Kerajaan MADANI melalui Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dalam mendepani cabaran krisis tenaga global susulan konflik Asia Barat.
“Melihat kepada perkembangan dunia terkini, KPKT mengambil langkah proaktif untuk meneruskan inisiatif ini sebagai respons langsung terhadap kenaikan kos bahan binaan serta cabaran ekonomi global yang kian menekan rantaian bekalan,” katanya.
Pada April 2023, KPKT memperkenalkan Skim Simen RAHMAH melalui kerjasama strategik bersama Persatuan Simen dan Konkrit Malaysia (C&CA).
Skim itu mencatatkan rekod kejayaan nyata, dengan 29 projek perumahan mampu milik telah diluluskan, membabitkan penggunaan 1,560,329 kampit dan 316,918.22 tan simen.-BH Online
